Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa mencadangkan agar projek yang melebihi RM500 juta turut melibatkan penyertaan Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jelasnya, ia berikutan penglibatan dua agensi berkenaan dalam projek mega ketika ini dilihat memberi kesan postif dalam mengelakkan berlaku ketirisan.

"Jadi, kita melihat ia adalah model yang baik melibatkan tindakan dan perkara berkaitan. Kita perlu hentikan ketirisan ini.

"Ia telah dilakukan kumpulan kecil, jadi projek lebih RM500 juta perlu ada mekanisma ini sama ada di peringkat negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau kerajaan persekutuan," kata Ali.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Istiadat Penganugerahan Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam INTAN 2016 di Dewan Plenaric, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Penglibatan Ketua Audit Negara dan SPRM ketika ini dilakukan ke atas projek mega seperti MRT, Lebuhraya Pan Borneo dan projek kereta api laju.

"Sekarang kita ada sistem, mekanisma seperti MRT, kereta api laju, dan kita ada dalam jawatankuasa. Kita ada anggota dari Ketua Audit Negara dalam MRT, Tan Sri Ambrin (Buang) sebagai anggota jawatankuasa dan juga Timbalan Ketua SPRM sebagai anggota," ujarnya.

Beliau juga menegaskan tidak akan melindungi mana-mana pegawai kerajaan yang melakukan penyelewengan dan rasuah, sebaliknya mahu SPRM menangkap individu berkenaan yang mencemarkan nama kakitangan awam.

Setakat ini, katanya, lebih 30 pegawai kerajaan daripada 1.6 penjawat awam terlibat dengan isu rasuah dan penyelewengan termasuk yang terbaharu, pegawai kanan yang ditahan SPRM di Sabah.

"Tugas saya untuk menjaga imej 1.6 juta penjawat awam daripada kita cuba melindungi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak berintegriti dalam perkhidmatan awam.

"Jadi tahniah SPRM kerana berjaya memerangkap kumpulan yang aktif rasuah ini," katanya lagi.

Justeru, beliau mengingatkan penjawat awam agar sentiasa berintegriti dan menolak amalan rasuah.