Pelaksanaan projek pembinaan lebuh raya Pan Borneo di negeri ini dan Sarawak masih di bawah jagaan Kementerian Kerja Raya dan menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan pada masa kini, kata Timbalan Menterinya Mohd Anuar Mohd Tahir.

Menurut beliau mesyuarat Kabinet pada setiap minggu menjadikan agenda projek mega itu (Pan Borneo) sebagai senarai agenda tetap yang perlu diberi perhatian untuk dibincangkan.

"Sepanjang saya menjadi Timbalan Menteri di Kementerian Kerja Raya, saya dapati antara agenda penting ialah isu-isu Sabah dan Sarawak lebih banyak dibicarakan lebih daripada isu jalan raya ataupun pembangunan di Semenanjung.

"Ini menunjukkan kerajaan (Pakatan Harapan) sekarang sangat memberi perhatian dan tumpuan untuk memberikan pembangunan kepada kedua-dua negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Parti Amanah Negara Bahagian Pensiangan di sini, hari ini.

Mohamad Anuar berkata banyak projek pembangunan untuk Sabah dan Sarawak tidak dapat dilaksanakan disebabkan situasi kewangan negara yang tidak mengizinkan.

Beliau berkata kementeriannya pada belanjawan tahun lalu memerlukan peruntukan sebanyak RM2 bilion untuk membiayai projek penyelenggaraan jalan raya di seluruh negara, namun kerajaan hanya meluluskan RM600 juta.

"Peruntukan yang kita (Kementerian Kerja Raya Malaysia) dapat tidak cukup...tak sampai separuh pun," katanya dan menambah peruntukan yang dipohon itu sepatutnya untuk keperluan pembangunan infrastruktur yang diagih-agihkan dari Perlis hinggalah ke Sabah.

Mohd Anuar yang merupakan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara meminta rakyat di negara ini khususnya Sabah dan Sarawak agar bersabar sehingga keadaan ekonomi negara benar-benar stabil.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Syafiq @ Joseph Peter Tinggi sebagai Penyelaras Parti Amanah Negara Pensiangan.

Sijil penajaan cawangan kepada 52 Ketua Cawangan Parti Amanah Negara di bahagian itu turut disampaikan oleh Pengerusi Perhubungan parti itu di Sabah, Alimudin Haris.

-- BERNAMA