Projek mendalamkan sungai di Pahang ambil tempoh 40 tahun

Projek mendalamkan sungai di Pahang ambil tempoh 40 tahun
Sebagai permulaan, kerajaan negeri Pahang memberi kelulusan kepada Syarikat Gegaran Alam Sdn Bhd melaksanakan kerja mengorek sungai bagi tempoh 15 tahun. - Gambar fail / BERNAMA
KUANTAN: Projek mendalamkan sungai di Pahang bagi menangani masalah banjir di negeri ini akan mengambil tempoh 40 tahun untuk disiapkan bermula Januari tahun depan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri Pahang melantik Syarikat Gegaran Alam Sdn Bhd untuk melaksanakan fasa pertama projek itu melibatkan jangka masa 15 tahun.

Pengarah Urusan Syarikat Gegaran Alam Sdn Bhd Ng Yit Seng berkata syarikat berkenaan bekerjasama dengan China Malaysia (Pahang) Project Management Company Limited dari Beijing, China, dalam aspek penggunaan teknologi canggih yang boleh digunakan untuk kerja mengorek sungai itu.
Beliau berkata dalam cadangan yang dikemukakan syarikat itu kepada kerajaan negeri, tempoh 40 tahun diperlukan untuk mendalamkan sungai di Pahang, meliputi tiga fasa dengan fasa pertama dan kedua masing-masing memerlukan tempoh 15 tahun manakala fasa ketiga pula 10 tahun.

"Sebagai permulaan, kerajaan negeri beri kelulusan melaksanakan kerja mengorek sungai bagi tempoh 15 tahun, selepas itu kerajaan negeri akan menilai semula kemampuan syarikat kita buat kerja ini untuk sama ada akan memberi kelulusan meneruskan kerja bagi fasa seterusnya atau sebaliknya," katanya.

Ng berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama syarikat China itu di sini pada Selasa.

Dalam majlis itu, Ng mewakili Syarikat Gegaran Alam Sdn Bhd manakala China Malaysia (Pahang) Project Management Company Limited diwakili Pengarah Urusannya Zhang Shi Jun dengan disaksikan Pengarah Tanah dan Galian Pahang Datuk Nazri Abu Bakar sebagai wakil kerajaan negeri.

Ng berkata fasa pertama kerja pengorekan sungai itu akan melibatkan kawasan hulu Sungai Pahang, Sungai Jelai, Sungai Lipis, Sungai Kenau dan sebahagian Sungai Kuantan sepanjang 272 kilometer.

Beliau berkata pelaksanaan kerja fasa pertama projek yang menelan belanja RM500 juta itu telah melepasi ujian Penilaian Kesan Alam Sekitar serta Kajian Hidraulik yang dilakukan pada 2014.

Kerajaan negeri, katanya, tidak akan mengeluarkan sebarang kos bagi projek mendalamkan sungai di Pahang, sebaliknya semua kos ditanggung menerusi usahasama kedua-dua syarikat itu.

"Bagaimanapun pihak kita diberi kebenaran untuk menjual segala hasil seperti pasir serta bahan mineral yang telah dikorek menerusi projek ini bagi menampung kos yang telah kita keluarkan, ini dikira win-win situation," katanya. -- Bernama