Projek pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang perlu diberi keutamaan - Chow

Projek pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang perlu diberi keutamaan - Chow
CHOW: Kita sedang menunggu sektor swasta untuk tampil dan mengumumkan rancangan mereka. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang perlu diberi keutamaan untuk dilaksanakan dahulu dan kemudian barulah meneruskan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Kulim di Kedah, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow pada Isnin.

Beliau berkata pendirian ini diputuskan oleh Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) yang melahirkan kebimbangan terhadap projek pembinaan Lapangan Terbang Kulim yang diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini.

"Kerajaan Persekutuan harus memberi keutamaan kepada projek pembesaran LapanganTerbang Antarabangsa Pulau Pinang dahulu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan delegasi PCCC di sini.

Menurutnya, oleh kerana projek Lapangan Terbang Kulim menjadi inisiatif pembiayaan swasta, dewan itu telah diminta untuk menunggu syarikat yang akan dilantik untuk mengumunkan rancangan mereka.
"Buat masa ini kita hanya boleh menyatakan bahawa kita sedang menunggu sektor swasta untuk tampil dan mengumumkan rancangan mereka," katanya.

Chow berkata PCCC yang diketuai oleh presidennya Datuk Seri Hong Yeam Wah juga meminta agar syarikat tempatan negeri diberi keutamaan dalam mendapatkan kontrak kerja hasil daripada pembanguinan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Beliau berkata PTMP sudah memasuki peringkat akhir kelulusan dan rancangan dijangka dibentangkan pada mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 18 April.

Beliau berkata Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) juga bersedia untuk mendengar permintaan PCCC bagi mempertimbang untuk mengurangkan bayaran persetujuan yang dikenakan ke atas tanah perindustrian yang dijual kepada pelabur.

"PDC biasanya akan melabur semula kutipan bayaran untuk memperbaiki kemudahan di zon perindustrian tetapi mereka bersedia untuk duduk semeja dengan anggota PCCC untuk membincangkan mengenai isu itu dan mengkaji semula bayaran itu jika terdapat justifikasi," katanya.

-- BERNAMA