Tutup

Projek Perintis Transformasi PLKN 2.0 dilaksanakan 17 Oktober- Hishammuddin

Projek Perintis Transformasi PLKN 2.0 dilaksanakan 17 Oktober- Hishammuddin
PLKN dijadualkan dilaksanakan semula pada 18 Januari 2016 selepas ditangguhkan pada tahun ini. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Projek Perintis Transformasi Program Khidmat Latihan Negara (PLKN) 2.0 yang bakal tampil dengan wajah baru akan dilaksanakan pada 17 Oktober ini di Kem Princess Haliza, Sepang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kem yang akan berlangsung untuk tempoh dua bulan itu akan disertai 410 pelatih dan 31 jurulatih.

"Seramai 410 pelatih yang menyertai program ini majoritinya telah tampil secara sukarela. Saya berharap projek perintis ini dapat diteruskan tahun depan membabitkan konsep sukarela dan penekanan mereka secara sukarela akan menjadi kenyataan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Transformasi PLKN di sini, hari ini
Selain pendekatan sukarela,  Fasa 2 latihan akan dilengkapi latihan kemahiran yang mana turut membabitkan latihan vokasional serta teknikal kepada peserta.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata kesemua peserta akan mengikuti latihan kemahiran tersebut di Institut Latihan Kemahiran Awam seperti Institut Kemahiran Belia Negara, Kolej Komuniti dan juga Institut Latihan Perindustrian.
"Aspek kemahiran ini akan memberikan nilai tambah kepada peserta yang bakal memberi manfaat kepada mereka terutamanya untuk mendapat pekerjaan," katanya.

Projek perintis PLKN ini akan bermula 17 Oktober ini bertujuan menguji keberkesanan kedua-dua fasa dalam PLKN iaitu iaitu Fasa 1 Model Pembelajaran Bersepadu dan Fasa 2 Latihan Kemahiran.

PLKN dijadualkan dilaksanakan semula pada 18 Januari 2016 selepas ditangguhkan pada tahun ini.