Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Projek perkongsian air antara negeri atasi kekurangan bekalan

Projek perkongsian air antara negeri atasi kekurangan bekalan
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri) melihat aliran air bersih terawat melalui pelepasan Air Effluen semasa mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Kumbahan Serantau Tambak Laut Bandar Melaka hari ini. - BERNAMA
MELAKA: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang giat membincangkan projek perkongsian air antara negeri dalam usaha menyelesaikan masalah bekalan air di negara ini, kata Menterinya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata perkongsian dirancang antara negeri mempunyai lebihan bekalan air dan negeri yang mengalami kekurangan bekalan air itu perlu memberi manfaat pada kedua-dua negeri terlibat selain memastikan isu bekalan air tidak menjejaskan kehidupan rakyat.
Katanya antara negeri yang mempunyai lebihan bekalan air ialah Terengganu, Pahang, Perak dan Kedah manakala Melaka merupakan antara negeri yang sering mengalami kekurangan bekalan air.

"Kita harapkan dengan perancangan di peringkat kementerian ini, kita mampu menyediakan satu perancangan besar bekalan air seluruh negara pada masa hadapan.
Sekarang ini kita sedang meneliti beberapa perkara antaranya negeri mempunyai lebihan air dan dilepaskan ke laut ... ini perlu dimanfaatkan, dan beberapa kaedah akan kita gunakan supaya kita sedia berhadapan dengan apa sahaja yang dijangka banyak pihak," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena lawatan kerjanya ke Melaka di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Malaysia pada 30 Jun lepas mendakwa negara dijangka mengalami masalah air kritikal dalam 10 hingga 15 tahun akan datang sekiranya tiada langkah lebih agresif diambil kerajaan serta semua pihak terlibat dalam menjaga dan melindungi alam sekitar.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali dan Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Tuan Ibrahim berkata KASA mengambil berat setiap laporan daripada semua pihak dalam isu penjagaan alam sekitar khususnya melibatkan hutan simpan yang menjadi salah satu bekalan atau rizab air negara dan ia akan diteliti di peringkat kementerian untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, beliau berkata dua projek berimpak tinggi iaitu Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) akan dibangunkan di Melaka iaitu TAPS Jernih dan TAPS Melaka bagi menyelesaikan masalah bekalan air bagi tempoh jangka masa panjang.

"Projek TAPS Jernih atau dulunya dikenali sebagai Empangan Sungai Jernih yang bernilai RM200 juta mampu menampung kapasiti sebanyak 13,000 juta liter air dan mampu membekalkan air 95 juta liter sehari ke loji rawatan air Jernih sekali gus menampung permintaan bekalan air di Melaka sehingga 2052," katanya.

Beliau berkata projek TAPS Melaka yang dianggarkan melibatkan kos RM350 juta dan dijangka siap pada 2024 pula mampu menampung keperluan penggunaan air di Daerah Alor Gajah dan kawasan tambak laut dengan jumlah kapasiti sebanyak 280 juta liter sehari sehingga 2040.

-- BERNAMA


Tag: Kementerian Alam Sekitar dan Air, KASA, perkongsian air antara negeri, masalah bekalan air, bekalan air, Tuan Ibrahim Tuan Man, Melaka, Terengganu, Pahang, Perak, Kedah



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.