Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memberi jaminan bahawa projek perumahan PR1MA di Bandar Ekar, Rantau yang terbengkalai akan dapat disiapkan.

Jelasnya, ketika ini kementeriannya sedang berusaha mencari kontraktor penyelamat bagi menggantikan kontraktor yang bermasalah.

Beliau menjangkakan projek yang telah lebih 50 peratus siap itu akan selesai selewat-lewatnya Mei tahun depan.

“Saya dapat laporan PR1MA Bandar Ekar mula pembinaan 2017 dan sepatutnya habis Januari 2019.

"Masalah kontraktor maka KPKT dalam proses sudah dapat mengenal pasti kontraktor penyelamat dan kontraktor penyelamat ini akan melakukan kerja secepat mungkin.

"Insya-Allah projek ini akan tamat pada tahun 2020,” katanya pada sidang media di Bandar Sri Sendayan di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, projek perumahan berkenaan masih dalam kawalan dan bukan masalah kritikal.

“Maknanya projek ini ada kelewatan selama 16 bulan. Pada hemat saya lewat satu setengah tahun bukan satu perkara besar yang lebih kritikal adalah projek yang lebih 10 tahun.

"Ini masih under control. Saya sendiri akan pastikan kerja akan dimulakan dan diteruskan,” tambahnya.

Ia melibatkan 776 unit rumah melibatkan 210 rumah satu setengah tingkat, dan 566 adalah rumah dua tingkat.

“Setakat ini, unit yang telah dijual adalah 80 peratus iaitu 620 unit sudah dijual dan ada tua punya. Yang membuat bantahan semalam adalah mereka yang membeli rumah dan mula bayar.

"Memang projek ini lewat 3 bulan. Kita akan buat balik dan akan abis pada Mei 2020,” tambah beliau.

Pada Ahad, sekumpulan pembeli rumah PR1MA di Rantau menggesa pihak kementerian terlibat menyelesaikan isu pembinaan projek perumahan berkenaan yang masih terbengkalai.

Projek berkenaan sepatutnya siap sepenuhnya pada 31 Januari lalu.