Kerajaan Pulau Pinang sedang mengatur satu sesi taklimat khusus bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pihaknya telah menerima permintaan daripada Anwar yang mahu satu sesi taklimat yang lebih menyeluruh mengenai PSR diadakan.

"Kerajaan negeri akan aturkan taklimat bersama Anwar dan mengalu-alukan wakil rakyat yang berminat untuk menyertai taklimat tersebut yang dijangka diadakan dalam waktu terdekat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata taklimat berkenaan akan diadakan di tempat yang bersesuaian dengan kedua-dua pihak dan tidak semestinya di Pulau Pinang di mana hasil daripada sesi taklimat itu akan dimaklumkan kemudian.

"Kami masih belum menentukan tempat dan masa untuk taklimat itu berlangsung kerana saya baru terima permintaan itu pada pagi ini dan saya telah arahkan pegawai untuk menguruskan apa yang patut," katanya.

Sabtu lepas, Anwar telah mengadakan sesi pertemuan bersama lebih 200 orang terdiri daripada nelayan, penduduk dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Jeti Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar bagi mendengar masalah sebenar penduduk yang terlibat dalam isu PSR.

Pada 11 Julai lalu, satu perhimpunan menolak projek PSR di Pulau Pinang telah diadakan di sekitar Tugu Negara, Kuala Lumpur yang turut dihadiri Koordinator Penang Forum, Khoo Salma Nasution.

Susulan itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan akan meneliti memorandum bantahan dibuat kumpulan berkenaan, selain kerajaan Persekutuan juga akan mengambil tindakan sesuai jika dakwaan yang dinyatakan berasas.

Kerajaan Pulau Pinang bercadang menebus guna 1,821.085 hektar kawasan laut bagi membina tiga pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut.

Projek PSR dicadangkan bertujuan mewujudkan bank tanah untuk membiayai projek Pelan Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). Difahamkan jangka masa projek tebus guna adalah selama 15 tahun dan keseluruhan projek dijangka siap antara 30 dan 50 tahun.

Kerajaan Pulau Pinang telah menerima kelulusan laporan EIA bagi projek PSR daripada Jabatan Alam Sekitar pada 4 Julai lepas.

-- BERNAMA