Proses bagi mewartakan santuari dugong di perairan Taman Laut Sultan Iskandar, dekat Mersing, kini di peringkat akhir, kata Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor Mustafa Kamal Abdullah.

Beliau berkata pewartaan santuari dugong di kawasan perairan taman laut itu melibatkan kawasan berkeluasan sehingga 150,000 hektar mengikut cadangan yang diberikan MareCet, pertubuhan bukan kerajaan bagi konservasi hidupan marin.

"Kawasan santuari ini akan dilaksanakan di perairan Pulau Tinggi, Pulau Sibu dan Pulau Besar (semuanya di Mersing) dan bagi pewartaan ini, pihak kami akan bermesyuarat dengan Jabatan Laut dan Jabatan Perikanan negeri dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas pelancaran logo baharu Perbadanan Taman Negara Johor di Taman Negara Tanjung Piai, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran logo baharu itu disempurnakan oleh Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim selaku Penaung Diraja Taman-Taman Negara Johor. Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Dr Sahruddin Jamal.

Logo baharu itu menampilkan imej badak Sumatera sebagai ikon konservasi dan imej Pokok Kipas sebagai spesies baharu dan pertama yang dijumpai di kawasan Taman Negara Endau-Rompin.

-- BERNAMA