Pendakwaan dan prodising kes kematian membabitkan seorang bayi perempuan berusia 11 bulan akibat didera dan dirogol suami pengasuhnya di Bangi baru-baru ini tidak akan dipindahkan ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin menjelaskan kes tersebut kekal di mahkamah jenayah lantaran ia melibatkan kematian.

“Ia diklasifikasikan sebagai kes kematian dan bukan kes seksual. Jadi dia agak sukar atau mungkin pendakwaan akan menghadapi masalah kalau berada di bawah Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak.

“Jadi sebab itu buat masa ini saya tak nampak kes ini boleh di bawa ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak.

“Walaupun mangsa merupakan kanak-kanak, tapi kes ini lebih kepada kes jenayah pembunuhan yang perlu dibawa ke mahkamah biasa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang ingin tahu sama ada kes tersebut akan dibawa ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak kerana mangsa adalah bayi perempuan.

Pada 9 November lalu, seorang bayi perempuan berusia 11 bulan meninggal dunia selepas dua hari dilaporkan tenat selepas dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuhnya.

Kes itu awalnya diklasifikasikan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, namun, selepas mangsa meninggal dunia, kes itu diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.