Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin kesal dengan kesalahan maklumat yang disiarkan menerusi media dan laman sosial berhubung prosiding pendengaran bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Bakke Salleh, pada 11 Februari lalu.

"Saya boleh mengesahkan bahawa Tan Sri Bakke tidak pernah menyatakan, pada bila-bila masa, yang dana 1MDB telah dipindahkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

"Fakta ini adalah konsisten dengan pengesahan berulang kali kepada umum yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara mengenai perkara ini," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Hassan turut menegaskan bahawa pihaknya akan menyiasat perkara 1MDB secara profesional dan telus, berdasarkan bukti berdokumen, temu bual saksi dan hasil daripada pengauditan oleh Jabatan Audit Negara.

Beliau turut meminta orang ramai untuk menghentikan spekulasi yang tidak perlu dan menunggu laporan rasmi PAC yang akan dibentangkan kepada Parlimen pada Mac.