Tutup

Prototaip kereta terbang dilancarkan seawal Oktober 2019

Prototaip kereta terbang dilancarkan seawal Oktober 2019
REDZUAN: Prototaip kereta terbang ini tidak melibatkan satu sen pun duit rakyat.
KUALA LUMPUR: Prototaip kereta terbang pertama Malaysia dijangka akan dilancarkan kepada umum seawal Oktober tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof berkata, kereta terbang berkenaan akan dipacu oleh teknologi tempatan selain tidak menggunakan peruntukan kerajaan.

"Sukacita saya memperingati ahli Dewan, 'air mobility' prototaip kereta terbang ini tidak melibatkan satu sen pun duit rakyat.

"Ia adalah inisiatif daripada beberapa syarikat persendirian dan kita kena sentiasa menjalinkan hubungan dengan syarikat persendirian supaya industri ini dirangsang selari dengan pembangunan industri antarabangsa," katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pas-Pasir Puteh) yang bertanyakan mengenai perkembangan pembangunan model prototaip kereta terbang.

Mohd Redzuan berkata projek kereta terbang adalah cara untuk kerajaan mewujudkan persekitaran yang mendorong rakyat untuk memikirkan tentang teknologi baharu.
"Kalau kita tidak sediakan ruang maka kita akan ketinggalan.

"Sebab itu kita membabitkan segala usaha agar anak tempatan dapat membangunkan industri berkenaan," katanya.

Jelasnya, industri berkenaan bergerak dengan cepat, justeru kerajaan perlu mengambil insiatif segera agar negara tidak ketinggalan dalam perkembangan industri itu.

Sebelum ini Mohd Redzuan mengingatkan masyarakat perlu berpandangan jauh ke hadapan berbanding mengecam pengenalan kereta terbang berkenaan.




Tag: kereta terbang, prototaip, Redzuan Md Yusof, Dewan Rakyat



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.