Wakil rakyat perlu berlapang dada, berjiwa besar dan berfikiran terbuka dalam menerima sebarang keputusan pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kuasa menentukan pemimpin negara dan wakil rakyat terletak di tangan pengundi.

Tegasnya, kempen pilihan raya perlu dilaksanakan menerusi cara yang terbaik, bukan dengan meracuni pemikiran rakyat.

"Jalinlah ukhwah dan kerjasama antara kita. Ya, kita harus jiwa besar, berlapang dada, berfikiran terbuka dan menerima hakikat bahawa kuasa rakyat adalah kuasa keramat.

"Serahkan kepada rakyat dengan kaedah kempen-kempen yang terbaik dan biar rakyat tentukan (pemimpin mereka). Jangan pernah meracuni pemikiran rakyat.

"Kita berikan (pilihan menentukan pemimpin) kepada mereka. Yang baik kita terima dan yang buruk kita sama-sama ketepikan.

"Agar (kita dapat) mendaulatkan sebuah negara sebagaimana yang dihasratkan dalam buku Berpisah Tiada, untuk mengharmonikan kebersamaan kita sebagai sebuah negara bangsa yang majmuk dan pelbagai," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan buku 'Berpisah Tiada' hasil tulisan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Bangunan Parlimen hari ini.

Buku tersebut yang berkisar penubuhan Malaysia serta Perjanjian Malaysia 1963 turut mengimbau susur galur perjalanan kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa dengan gabungan Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Pandikar Amin dalam ucapannya mencabar mana-mana pihak yang mempersoalkan kedaulatan Sabah dan Sarawak yang menyertai Malaysia pada 1963 untuk berdebat dengannya.

"Saya tidak dapat benarkan isu Perjanjian Malaysia untuk didebatkan di Parlimen sebab saya tidak ada kuasa berbuat begitu, kerana kekangan Peraturan Mesyuarat 15, Dewan Rakyat.

"Atas sebab itu - bukan sebab angkuh, tidak - tetapi demi mencari kebenaran, sesiapa yang mahu bahas dengan saya secara terbuka mengenai sejarah penubuhan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963, namakan tempat dan masa, Pandikar akan ada di sana," katanya menutup ucapan.

Beliau turut berharap unsur negatif yang disebarkan, terutama berkaitan isu pemisahan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak, dapat diredakan menerusi penulisannya itu.