Sepanjang dekad lalu, apa yang berlaku dalam pilihan raya di seluruh dunia telah menimbulkan persoalan mengenai impak media sosial terhadap pengundi.

Menurut wartawan dan penyampai berita dari China Central Television (CCTV) James Chau, kempen politik hari ini banyak berlaku di media sosial.

"Saya melihat landskap media ketika ini sangat menarik kerana terdapat banyak tarikan dari semua arah.

"Pada masa sama, kita boleh lihat penggunaan media tradisional juga memainkan peranan penting," katanya.

James turut mengulas tentang pemikiran dalam kalangan golongan muda yang berpendapat proses berpolitik cara lama tidak lagi relevan pada masa ini.

"Saya rasa apa yang berlaku adalah sebaliknya, kerana anda perlu mengambil bahagian dalam semua aspek untuk mencapai semua golongan masyarakat," kata James.

Sepertimana yang telah berlaku pada Pemilihan Presiden AS pada 2016 dan Referendum EU, media sosial telah menjadi medan perang untuk berkempen dan generasi muda telah menggunakan platform Twitter dan Facebook untuk mendapatkan maklumat.

Di Malaysia pula, dengan hari Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang semakin hampir, wujudnya hashtag seperti #GE14 #PulangMengundi #MalaysiaMemilih di media sosial untuk mengalakkan anak muda untuk mengundi dan berbincang mengenai hal politik.

Teknologi baharu dalam platform sosial media seperti penstriman langsung telah membuka peluang kepada ahli politik dan personaliti untuk menyampaikan maklumat dan akses terus kepada orang ramai.

James juga mengakui media sosial sememangnya telah mengubah segala-galanya lagi landskap media dan cara kita berinteraksi sesama sendiri.

"Namun saya juga percaya masih banyak ruang untuk media tradisional yang boleh digunakan. Jika tidak saya dan anda akan kehilangan kerja.

"Saya rasa apa yang wartawan dan media boleh lakukan adalah untuk berfikiran lebih terbuka dan menyesuaikan diri dengan perubahan.

"Anda boleh lihat stesen TV di China dan Amerika Syarikat di mana mereka mampu teruskan penyiaran dan menggunakan jenamanya untuk semua kandungan video pendek," katanya.