Malaysia Airports Berhad (MAB) menawarkan pengecualian caj penukaran penerbangan untuk tempahan Malaysia Airlines, Firefly dan Maswings sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei nanti.

Menurut kenyataan MAB, pengecualian itu bertujuan memudahkan rakyat Malaysia untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU14 yang akan datang.

Pengecualian berkenaan dikenakan untuk semua jenis tiket untuk tarikh penerbangan masuk atau keluar antara 8 hingga 10 Mei.

“Hanya satu perubahan penerbangan yang dibenarkan serta mesti dilakukan dalam tempoh 10 hari bermula pada hari ini.

“Penumpang dibenarkan menangguhkan tarikh perjalanan mereka sehingga dua bulan dari tarikh asal perlepasan,” menurut MAB dalam kenyataan itu.

Semua tambang subclass dan surcaj bermusim dikenakan mengikut peraturan tambang tiket penerbangan yang dibeli.

Pelanggan boleh melakukan perubahan tempahan di pejabat tiket syarikat penerbangan atau menghubungi Pusat Panggilan Malaysia Airlines atau MASwings di talian 1300-88-3000 atau Pusat Panggilan Firefly di talian +603-7845-4543.