PRU14: Masyarakat nilai sendiri isu pemberitaan seimbang - Chamil

PRU14: Masyarakat nilai sendiri isu pemberitaan seimbang - Chamil
CHAMIL: Ia bukan bermaksud memberi ruang yang sama banyak, yang lebih penting ialah kita memberi kepelbagaian pendapat dalam sesuatu item berita. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Masyarakat harus menilai sendiri keseimbangan mana-mana laporan di media arus perdana atau portal terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya berkata, masyarakat juga harus tahu membezakan mana-mana berita yang berasaskan fakta atau analisis yang dibuat wartawan.

Jelasnya, matlamat utama pemberitaan adalah melahirkan maklumat secukupnya untuk masyarakat  membuat keputusan.
"Ia bukan bermaksud memberi ruang yang sama banyak, yang lebih penting ialah kita memberi kepelbagaian pendapat dalam sesuatu item berita.

"Matlamat kita hendak mendidik masyarakat dengan apa juga isu yang kita bicarakan. Jadi adalah penting kita memberi gambaran menyeluruh tentang sesuatu isu dan kemudian terpulang kepada khalayak untuk menentukan masyarakat hendak terima atau tidak, tetapi akhirnya mereka yang akan menentukan.

"Kita sebagai wartawan, tugas kita adalah untuk melaporkan, apa yang kita nampak dan perhatikan, kita hanya beri. Mungkin dan yang lain terserah kepada khalayak," katanya selepas sesi perbincangan Media dan PRU: Antara Menyokong, Menentang dan Berkecuali di sini hari ini.

Ia diadakan sempena Forum Media dan Komunikasi Menjelang PRU14.

Selain itu, dua lagi topik perbincangan forum adalah Pembentangan Kajian Berkaitan PRU dan Mengkomunikasikan Mesej kepada Khalayak semasa PRU: Perspektif Akademik.

Antara panel adalah Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dan
Profesor, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof. Datuk Dr. Syed Arabi Idid.