Sebanyak 287 murid keciciran pelajaran di tahap sekolah rendah dan menengah kembali bersekolah melalui Program Sifar Murid Cicir (PSMC) anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Ahmad Rafee Che Kassim, program yang dilaksanakan di beberapa daerah sejak Julai 2018 itu memberi fokus kepada meningkatkan kehadiran murid ke sekolah melalui pelbagai bentuk bantuan yang disediakan.

“Kementerian Pendidikan Malaysia lebih fokus kepada memberi insentif dan bantuan kepada ibu bapa supaya menghantar anak ke sekolah berbanding dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

“Hal ini disebabkan oleh ibu bapa yang tidak mendaftar anak mereka di sekolah kebanyakannya daripada golongan miskin,” kata Ahmad Rafee, di sini, pada Selasa.

Beberapa langkah yang diambil PSMC untuk memastikan murid kekal dalam sekolah termasuk memberi basikal atau motosikal kepada murid yang tinggal jauh dari sekolah, memberi bantuan bayaran yuran, serta bantuan pembelian makanan.

Antara kawasan yang terlibat dalam program rintis ini ialah Perlis, Langkawi, Hulu Langat, Kluang dan Kulai di Johor, dan Pasir Mas di Kelantan.

Ahmad Rafee berkata kejayaan program PSMC bergantung kepada usaha menangani isu-isu yang jelas berbeza mengikut kawasan.

Selain itu, ia memerlukan penglibatan ahli masyarakat setempat serta pihak istana bersama ahli politik dan agensi kerajaan berkaitan, katanya lagi.

Beliau memberi contoh di Perlis di mana kebanyakan kes keciciran membabitkan penagihan ketum. Namun melalui pelaksanaan PSMC, kesemua 72 murid cicir di sekolah rendah dan menengah di sana kini kembali mendaftar ke sekolah.

Dalam pada itu, Rafee menyeru ahli masyarat agar menyalur maklumat keciciran murid kepada pihak sekolah supaya dapat dibantu melalui program PSMC.