Isu Pas Sementara Sabah (PPS) tidak seharusnya menjadi retorik politik kerana ia berkaitan dengan isu keselamatan di negeri ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PSS merupakan langkah yang terbaik untuk menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dan bukannya sebagai lesen menjadi warganegara sebagai mana didakwa sesetengah pihak.

"Tujuannya adalah untuk memperbaiki sistem dan ia adalah selari dengan apa yang dikehendaki oleh rakyat Sabah supaya pengurusan pendatang yang tidak mempunyai dokumen yang sah hendak diurus secara telus dan berhemah bagi menjamin keselamatan negeri Sabah.

"Ini adalah dibawah bidang kuasa Imigresen, jadi keputusan yang telah dibuat akan cuba dilaksanakan dalam tahun hadapan, akan mengambil sedikit masa dan ini bukan isu politik ini adalah isu keselamatan,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media selepas menghadiri Kenduri Rakyat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dewan Masyarakat Papar, Papar, pada Sabtu.

Kenyataan Muhyiddin itu merujuk kepada sikap pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) yang dilihat terlalu terdesak menjadikan isu PSS sebagai wadah kempen di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis bagi mengelirukan pengundi.

Untuk rekod, PSS bakal dilaksanakan selewat-lewatnya pada 1 Jun hadapan dengan tiga pemegang kad yakni kad banci, kad Burung-Burung serta IMM13 kini direkodkan seramai 136,055 orang di Sabah.

Bahkan, Muhyiddin turut mendedahkan, idea merealisasikan PSS sebenarnya datang daripada pemimpin BN dahulu, di mana ia dipanggil sebagai Pas Residen Sementara Sabah (PRSS) yang telah dibentanh dan dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Bilangan 2 pada 31 Julai 2015.

"Selaras dengan peralihan kerajaan pilihan raya umum lepas, PRSS ini kita teliti balik dan dibentangkan balik di bawah pentadbiran kerajaan PH.

" Kita setuju meneliti cadangan itu secara mendalam dengan penambahbaikan dan dibentangkan dalam jawatan kuasa induk pada 6 September 2019 dan mesyuarat bersetuju dengan pelaksanaan PSS,"katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan PSS ini adalah langkah penyelesaian terbaik untuk mengenalpasti jumlah sebenar pemegang tiga kad berkenaan di Sabah yang mungkin sudah bertambah atas faktor perkahwinan dan kelahiran.

Muhyiddin dalam pada itu mengajak rakyat Sabah tidak terlalu menggangap perkara PSS ini sebagai isu kompleks dan meminta pihak pembangkang yang berkempen supaya tidak memesongkan fakta sebenar.

Sebelum ini, beberapa pemimpin BN telah menempelak Warisan-PH kerana menuduh mereka memulakan isu PSS ketika mentadbir negara memandangkan perkara itu tidak pernah didokumenkan bagi tujuan pelaksanaannya.