PTMP: Projek bernilai RM17 bilion diluluskan oleh kerajaan Pulau Pinang

PTMP: Projek bernilai RM17 bilion diluluskan oleh kerajaan Pulau Pinang
Menurut Chow (gambar) kos RM17 bilion itu termasuk sistem Transit Rel Ringan (LRT) Laluan Bayan Lepas dari Komtar dan pembinaan lebuh raya Pan Island Link 1. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP hari ini mengumumkan bahawa sejumlah RM17 bilion daripada jumlah kos RM46 bilion yang dianggarkan bagi projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) telah diluluskan.

Pengerusi Jawatankuasa kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata kos RM17 bilion itu termasuk sistem Transit Rel Ringan (LRT) Laluan Bayan Lepas dari Komtar dan pembinaan lebuh raya Pan Island Link 1.

"Apa yang diluluskan bagi fasa 1 adalah kurang daripada 27 bilion. Apa yang diluluskan dan diberi lampu hijau untuk dimulakan ialah Transit Rel Ringan Laluan Bayan Lepas dan lebuh raya Pan Island Link 1, yang melibatkan hanya kira-kira RM17 bilion," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata Laporan Kesan Penilaianha Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek LRT Bayan Lepas telah dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar pada Mei dan kini menunggu kelulusan bersyarat daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk pemeriksaan awam sementara laporan EIA bagi lebuh raya Pan Island Link dijangka dikemukakan menjelang akhir bulan depan.

Chow berharap bahawa SPAD yang kini memberi perhatian kepada Pelan Induk Pengangkutan Wilayah Utara akan memberi kelulusan bersyarat bagi pemeriksaan awam projek LRT Bayan Lepas tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Chow berkata jumlah kos PTMP sepertri dicadangkan oleh rakan pelaksana projek, SRS Consortium adalah RM46 bilion bagi landasan rel dan lebuh raya yang juga meliputi tiga jalan utama dan projek terowong dasar laut yang dilaksnakan oleh Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CSZ).

Beliau berkata berdasarkan kajian perunding kejuruteraan, Halcrow yang dilaporkan pada 2011, apa yang dicadangkan hanya kajian konseptual dengan kos dianggarkan RM27 bilion dan tiada kajian terperinci dijalankan.

"Kerajaan negeri yang melantik SRS Consortium untuk melaksanakan PTMP dan konsortium telah mencadangkan RM46 bilion sebagai kos selepas menjalankan kajian kemungkinan dan reka bentuk kejuruteraan awal," kata beliau.

Beliau berkata kos ini tidak berubah setakat ini dan tiada peningkatan kos.

Awal bulan ini, pasukan komunikasi strategik Barisan Nasional dilaporkan telah mempersoalkan kerajaan Pulau Pinang berhubung apa yang dikatakan sebagai peningkatan kos PTMP daripada RM27 bilion kepada RM46 bilion, peningkatan sebanyak RM19 bilion.

-- BERNAMA