Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akhirnya mengeluarkan kenyataan selepas lebih 24 jam diasak dan diaju pelbagai persoalan pasca pengumuman pada Rabu mengenai pelaksanaan Potongan Gaji Berjadual (PGB).

Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan berkata PTPTN sedia mempertimbangkan rayuan daripada mereka yang memerlukan sambil menegaskan langkah yang akan dimulakan pada Januari 2019 itu tidak bertentangan dengan undang-undang.

Jelasnya, apabila peminjam menandatangani perjanjian dengan PTPTN, ia bermakna mereka bersetuju untuk membuat pembayaran balik mengikut sebarang skim yang ditetapkan perbadanan itu.

"Saya mendengar kegusaran mereka dan saya bersedia mempertimbang rayuan daripada mereka yang memerlukan pertimbangan khas.

"Ada yang menyatakan bahawa mekanisme PGB bertentangan dengan Perjanjian Pinjaman yang telah ditandatangani.

"Saya ingin nyatakan bahawa, melalui perjanjian yang mereka tandatangani tersebut, peminjam telah pun bersetuju untuk membuat bayaran balik mengikut apa-apa skim yang ditetapkan oleh PTPTN, termasuk potongan gaji melalui majikan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Wan Saiful bagaimanapun berkata, beliau mengambil maklum pandangan dan cadangan yang diberi semua pihak susulan pengumuman yang dibuat pada Rabu itu.

Beliau menegaskan, terdapat peruntukan dalam Akta PTPTN 1997 yang memberi kuasa kepada perbadanan untuk mengarahkan majikan melaksanakan potongan gaji ke atas peminjam.

"Ada yang memberi komen mengenai kuasa majikan untuk membuat potongan gaji.

"Seksyen 29 Akta PTPTN 1997 memperuntukkan kuasa kepada PTPTN untuk mengarahkan majikan melaksanakan potongan gaji ke atas peminjam.

"Maka, peruntukan undang-undang itu ada," jelas beliau.

BACA: Tidak rujuk MEF, majikan keliru dasar baharu PTPTN

BACA: Tangguh pelaksanaan PGB, AMK ajak PTPTN berbincang

BACA: 'Hatta dengan bapa sendiri pun, hutang mesti dibayar'


Tambahnya, kerajaan mempunyai pilihan sama ada mahu memberi keutamaan kepada peminjam hari ini atau memastikan kelestarian PTPTN supaya jutaan anak kecil hari ini mempunyai dana untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi pada masa akan datang.

“Ini bukan keputusan mudah kerana ia membabitkan dua kelompok yang mempunyai keutamaan yang berbeza.

"Keputusan kerajaan ini saya yakin akan memastikan bahawa PTPTN lestari demi kebaikan anak anak kita,” kata Wan Saiful.

Pada Rabu, PTPTN mengumumkan peminjam yang bekerja dan berpendapatan lebih RM2,000 sebulan tidak akan terlepas daripada membayar balik pinjaman apabila skim PGB dilaksanakan tahun depan.

PTPTN akan berhubung terus dengan majikan yang akan menolak gaji pekerja yang mempunyai pinjaman PTPTN secara mandatori, sekali gus mengeluarkan arahan kepada majikan untuk membuat potongan gaji mengikut peratus yang ditetapkan dalam skim PGB.