Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi pengecualian bayaran pinjaman pengajian berjumlah RM26,000 kepada bekas mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Abdul Halim Mat Hassan, 26, yang menghidap kanser pangkal hidung tahap empat.

Pengurus Besar PTPTN Kelantan Mohd Azrul Akmal Mamat berkata, keseluruhan hutang pinjaman PTPTN oleh peminjam berkenaan telah selesai melalui manfaat takaful.

Menerusi manfaat ini peminjam tidak perlu risau untuk membuat sebarang bayaran balik bagi pinjaman PTPTN semasa pengajian di UMK.

"Skim Pembiayaan Pendidikan dengan perlindungan takaful berkelompok dilaksanakan oleh PTPTN untuk melindungi pembiayaan yang diberikan oleh PTPTN sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh kepada peminjam.

"Di bawah konsep perlindungan takaful berkelompok ini, amaun prinsipal pembiayaan pendidikan yang dikeluarkan oleh PTPTN kepada semua peminjam atau baki prinsipal akan mendapat perlindungan sepenuhnya daripada syarikat pengendali takaful yang dilantik oleh PTPTN," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Azrul berkata, menerusi takaful ini juga bagi mana-mana peminjam yang telah meninggal dunia atau mengalami keilatan, waris atau penuntut perlu membuat tuntutan dengan melengkapkan Borang Permohonan Tuntutan Takaful yang boleh diperoleh melalui portal rasmi PTPTN www.ptptn.gov.my.

"PTPTN sebagai sebuah agensi pembiaya utama pendidikan tinggi negara sentiasa memikirkan kebajikan peminjamnya dan sehingga 31 Mac 2020, seramai 10,742 peminjam telah mendapat manfaat daripada perlindungan takaful dengan jumlah RM182.5 juta. Selain itu, 9,857 waris penuntut telah menerima khairat kematian sebanyak RM13.12 juta untuk tempoh yang sama," katanya.

Beliau turut mengunjungi kediaman Abdul Halim di Kampung Kok Kiak Baka, Machang di sini untuk menyerahkan surat pengecualian bayaran pinjaman berkenaan.

Terdahulu, media hari ini melaporkan Abdul Halim menjalankan perniagaan arnab secara kecil-kecilan sejak dua tahun lepas sebagai inisiatif beliau untuk melunaskan pinjaman PTPTN sebanyak RM26,000 dan berita mengenai kegigihan beliau mendapat perhatian pihak berkenaan.

Abdul Halim graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan dengan Kepujian itu menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada PTPTN di atas pengecualian bayaran pinjaman yang diberikan kepada beliau.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan sangat gembira apabila dihubungi oleh pihak PTPTN sekitar petang tadi bahawa permohonan pengecualian bayaran pinjaman saya diluluskan," katanya.

Anak ketujuh daripada 10 beradik ini disahkan menghidap kanser pangkal hidung pada Oktober 2017 dan terpaksa mendapatkan rawatan selama setahun yang berakhir pada tahun lepas termasuk kimoterapi sebanyak tujuh pusingan serta radioterapi 36 kali bagi mematikan sel kanser, selain lehernya terpaksa ditebuk untuk saluran pernafasan.

-- BERNAMA