Kejujuran seorang tukang kimpal yang memulangkan wang berjumlah RM 5,000 yang dijumpainya di hadapan sebuah bank di Kuala Kangsar wajar menjadi contoh kepada semua rakyat Malaysia.

Kisah Ahmad Razif Ahmad Razali, 27, mula viral dalam laman sosial sejak petang Selasa dan masyarakat memujinya kerana tidak mengambil kesempatan dengan situasi tersebut.

Disebabkan kejujurannya itu, Razif dianugerahkan sijil penghargaan daripada pihak polis yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Azry Akmar Ayob pada awal pagi Rabu.

Menceritakan semula kejadian tersebut, Razif memberitahu dia terjumpa segumpal wang di atas jalan raya pada malam Khamis lepas di hadapan sebuah bank di bandar.

Dia yang terkejut melihat wang tersebut membuat keputusan untuk mengambil wang tersebut sebelum membawanya masuk ke dalam kereta.

"Bila berada di dalam kereta, saya termenung seketika kerana tidak tahu apa nak buat dengan wang tersebut. Saya tunggu kira-kira 15 minit di situ dengan harapan ada orang datang mencari wang itu.

"Saya ada nampak seorang lelaki seakan-akan mencari sesuatu di bank namun saya tidak pasti adakah dia pemiliknya. Kemudian, saya buat keputusan untuk menghantar wang itu ke balai polis.

"Semasa saya di balai, saya juga memuat naik status di Facebook berkenaan wang tersebut namun tiada yang memberi respon," katanya ketika ditemui Astro Awani pada petang Rabu.

Tambah Razif, dia tidak sangka perkara itu menjadi viral dalam laman sosial dan dia mengakui berasa sedikit segan apabila ramai orang memujinya.

Malah, katanya, ada individu menghantar mesej kepadanya mengatakan dia bodoh kerana tidak menyimpan wang tersebut sedangkan dia boleh berbuat demikian.

"Saya kata pada orang itu, kalau kamu yang jumpa mungkin kamu simpan tapi ini saya yang jumpa jadi terpulang pada saya untuk buat apa pada wang itu.

"Lagipun, sebelum ini saya pernah terjumpa tiga dompet. Dua daripadanya saya pulangkan sendiri kepada tuannya dan satu saya hantar ke balai polis.

"Pada saya, biarlah kita memperoleh wang dari usaha kita sendiri. Tiada guna ambil hak orang, tiada keberkatan pun dalam wang itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Razif lega kerana pemilik wang tersebut telah menuntut wang tersebut di balai polis dan dia bersyukur kerana dapat membantu menyelamatkan wang tersebut.

"Sebenarnya, ini merupakan tanggungjawab kita sebagai manusia. Jika kita jumpa barang atau wang yang bukan hak kita, sepatutnya kita tidak mengambilnya.

"Penat orang itu mengumpul wang sebanyak itu namun hilang sekelip mata. Mungkin berlaku kecuaian namun kita perlu tanamkan sifat jujur dalam diri kita," jelasnya ringkas.