Keluarga pensyarah Universiti Teknologi Mara (UITM) Samarahan, Norashikin Shariffuddin yang dilapor hilang sejak beberapa hari lalu berharap gadis itu dalam keadaan selamat dan segera pulang.

Adiknya, Balkhis Shariffuddin, 32, berkata, kali terakhir kakak dilihat rakannya adalah pada Isnin lalu semasa keluar dari kampus dan sehingga hari ini tiada berita tentangnya diterima.

Menurutnya, laporan polis telah dibuat oleh rakannya kelmarin.

"Usaha mencari kakak masih dijalankan, setakat ini tiada sebarang petunjuk lagi.

"Kami semua ada cuba menghubungi, namun gagal. Mak dan ayah amat risau tapi keadaan mereka masih stabil dengan pantauan adik," katanya kepada Sinar Harian.

Ketika ditanya bila kali terakhir bertemu kakaknya, Balkhis berkata, Norashikin sempat pulang bercuti ke kampung di Manjung, Perak pada minggu lalu.

“Saya sempat berjumpa dengannya dalam tempoh yang singkat pada hari Sabtu lalu sebelum dia pulang semula ke kampus. Waktu jumpa kakak, dia nampak tertekan.

“Kawan-kawan kata dia ada tekanan, rasa macam dia lari dari masalah tekanan. Mungkin dia sedang tertekan dengan kerjanya," katanya.

Sebelum ini, berita kehilangan pesnyarah berusia 34 tahun itu tular di media sosial dan berharap usaha mencarinya membuahkan hasil.