Kerajaan negeri yakin penjenamaan semula Pulau Besar di sini, akan melenyapkan panggilan 'Pulau Syirik' yang sering terkenal dengan aktiviti khurafat di negeri ini.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, perancangan mentranfsormasikan lokasi itu sebagai destinasi pelancongan memandangkan sehingga kini ia hanya pulau bebas cukai bagi dua barangan sahaja iaitu rokok dan minuman keras dan langkah mengazetkan sepenuhnya sebagai pulau bebas cukai dapat menyumbangkan kepada pertumbuhan ekonomi Melaka.

Menurutnya, permohonan status penuh pulau bebas cukai itu akan dibuat dalam masa terdekat dan pasti pembangunan itu bukan perkara yang mudah untuk dilakukan seperti mana bangunnya Pulau Langkawi di Kedah.

Katanya, sekali gus Pulau Besar dijangka mampu sebaris pulau pelancongan lain walaupun sebelum ini diselubungi aktiviti khurafat dan syirik tegar sehinggakan memberi pelbagai persepsi negatif kepada pulau yang dahulunya menjadi tempat penyebaran Islam.

"Pulau Besar itu akan kekal jadi khurafat kalau tidak dibangunkan. Maka pembangunan itu sendiri salah satu agenda untuk melawan khurafat kerana kaedah melawan khurafat sebelum ini bagi saya gagal kerana pulau itu tidak dibangunkan.

"Ia sunyi (Pulau Besar), kalau kita tengok ia seperti pulau terbiar kecuali ada tahfiz dan pulau itu juga tidak mempunyai produk, kalau ada produk, aktiviti khurafat akan dapat kita hapuskan," katanya.

Adly berkata demikian ketika sidang media Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri, di Ayer Keroh, di sini, semalam.

Ujarnya, produk berasaskan koko selain pinggan mangkuk dan barangan elektrik juga boleh diperkenalkan dan dipasarkan sebagai antara produk makanan di pulau tersebut selaras ia sebagai pulau bebas cukai.

Beliau berkata, pihaknya juga berhasrat mewartakan kawasan saluran paip di pulau tersebut sebagai kawasan larangan menangkap ikan susulan masalah kerosakan dan kebocoran saluran paip yang terpaksa ditanggung Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Dalam perkembangan lain, Adly berkata, projek Pelabuhan Tanjung Bruas juga akan diperluaskan membabitkan 8.09 hektar bagi fasa pertama yang dirancang bagi membina sebuah jeti baharu yang akan menampung kedatangan kapal-kapal ke pelabuhan itu pada masa akan datang.

"Bagi projek itu Kumpulan Melaka Berhad (KMB) dilantik sebagai agensi pemantau projek kerana mempunyai 30 peratus kepentingan di Tanjung Bruas selain projek itu berjalan lancar," katanya.