Kerajaan Pulau Pinang akhirnya akur dengan desakan supaya menarik balik tema sambutan kemerdekaan peringkat negeri iaitu 'Bersih, Cekap, Amanah'.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam pengumuman pada Isnin berkata, sambutan Hari Kebangsaan 2015 peringkat negeri akan menggunakan tema yang sama dengan kerajaan pusat 'Sehati Sejiwa'.

Menurutnya, penyelarasan tema sambutan peringkat negeri dan kebangsaan itu dibuat seiring dengan semangat Hari Kemerdekaan dan bagi menjaga kewibawaan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Guan Eng berkata dengan penarikan tema itu, tidak timbul lagi masalah untuk agensi persekutuan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai sambutan Hari Kebangsaan 2015 peringkat negeri.

"Keputusan ATM menarik diri daripada sambutan kali ini akibat akur kepada desakan kerajaan pusat telah menyebabkan kerajaan negeri membuat pertimbangan semula. Penghormatan Diraja oleh ATM kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas adalah satu kewajipan tradisi sambutan Hari Kebangsaan.

"Atas semangat kemerdekaan dan demi mempertahankan kewibawaan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang sebagai ketua negeri, kerajaan negeri dengan berat hati menarik balik tema 'Bersih, Cekap, Amanah'.

"Kerajaan negeri akan menggunakan tema yang sama dengan yang telah diumumkan oleh kerajaan pusat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, ATM memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan, ATM menegaskan, keputusan itu dibuat berikutan tema sambutan Hari Kebangsaan anjuran kerajaan negeri iaitu 'Bersih, Cekap dan Amanah' tidak sejajar dengan jiwa serta semangat sambutan Hari Kebangsaan 2015.

Sebelum ini Jabatan Pendidikan Pulau Pinang turut mengarahkan agar semua sekolah di negeri ini tidak menyertai sebarang sambutan dan perarakan Hari Kebangsaan anjuran kerajaan negeri sehingga mendapat arahan selanjutnya daripada Kementerian Pendidikan.

Tindakan sama turut diambil Polis Diraja Malaysia berikutan tema yang berbeza.

Smentara itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid dalam reaksi segeranya kepada pengumuman Guan Eng itu, berkata, PDRM akan menyertai sambutan Hari Kebangsaan 2015 peringkat negeri Pulau Pinang selepas tema itu ditukar mengikut kepada tema asal kerajaan pusat.