Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang diberitahu kerajaan negeri bercadang membina sebuah lapangan terbang antarabangsa yang baharu bagi menampung keperluan lapangan terbang di negeri ini selepas 2050.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Koridor Utara itu akan dibina di atas tanah tebus guna di Batu Maung berdekatan Pulau Rimau, dalam lokaliti yang sama dengan lapangan terbang sedia ada.

"Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hanya mampu menanggung kapasiti penumpang dan kargo untuk tempoh 20 ke 30 tahun akan datang sahaja.

"Keperluan untuk mewujudkan lapangan terbang baharu ini begitu kritikal dan bertujuan menjaga kepentingan Pulau Pinang sebagai pintu masuk utama pengangkutan udara bagi wilayah utara Malaysia," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2019 pada persidangan DUN Pulau Pinang, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata walaupun semua infrastruktur dan jaringan jalan raya untuk pembinaan lapangan terbang baharu itu telah tersedia, cadangan itu masih dalam peringkat perancangan dan perlu melalui pelbagai proses seperti kajian kebolehlaksanaan, kelulusan daripada Majlis Perancangan Fizikal Negara untuk tebus guna laut, kelulusan kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan sumber pembiayaan projek.

Sebelum ini dilaporkan LTAPP yang direka untuk menampung 6.5 juta penumpang setahun merekodkan pengendalian 7.2 juta penumpang tahun lepas.

Kerajaan negeri menjangkakan jumlah pengguna LTAPP akan meningkat ke 7.8 juta tahun ini dengan keperluan menaik taraf lapangan terbang itu amat kritikal.

Sementara itu, mengenai pengumuman cadangan pembinaan dua hotel di puncak Bukit Bendera, Chow berkata cadangan itu masih di peringkat perancangan awal.

Beliau berkata cadangan pembinaan hotel dengan 200 bilik berhampiran Banglo Convalescent telah dibuat pada 2016 susulan permintaan daripada pelawat tempatan dan luar negara yang berhasrat untuk tinggal dan bermalam di situ.

"Konsep dan reka bentuk ini akan dikaji semula dengan teliti untuk proses seterusnya. Saya juga mengarahkan Perbadanan Bukit Bendera untuk mengkaji dan membaik pulih beberapa aset kerajaan negeri termasuk membaik pulih Banglo Convalescent dan membangunkan semula bangunan usang di Coolie Line untuk memberi lebih banyak pilihan penginapan kepada pelawat," katanya.

Chow berkata kerajaan negeri dan Perbadanan Bukit Bendera komited untuk memelihara Bukit Bendera dan segala pembangunan di puncak bukit itu mengikut Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera 2016 dan Rancangan Tempatan Bukit Bendera 1998.

-- BERNAMA