Dua kematian akibat denggi dicatatkan awal tahun ini di Pulau Pinang, yang menimbulkan kebimbangan kepada kerajaan Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata situasi itu sangat membimbangkan kerana kes denggi di negeri ini tidak menunjukkan penurunan walaupun pelbagai usaha membasmi pembiakan nyamuk aedes giat dijalankan.

"Pada 2013, sebanyak tujuh kematian akibat denggi dicatatkan manakala pada 2014 sebanyak 11 kematian pula dicatatkan. Ia meningkat kira-kira 45.5 peratus. Selepas satu minggu memasuki 2015, statistik denggi masih belum menunjukkan tanda-tanda penurunan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian gotong-royong perdana tempat pembiakan nyamuk aedes peringkat negeri oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng di Taman Tenggiri, Seberang Jaya di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang Datuk Dr Zailan Adnan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai Datuk Maimunah Mohd Sharif.

Dr Afif berkata sehingga 17 Jan lepas, sebanyak 247 kes denggi dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 152.04 peratus berbanding 98 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas.

Tahun lepas, Pulau Pinang mencatatkan 3,141 kes demam denggi iaitu peningkatan hampir 200 peratus berbanding bilangan dicatatkan pada 2013.

Beliau berkata terdapat empat lokaliti 'hotspot' iaitu di Jalan Lim Eow Thoon, Flat Batu Lanchang dan Taman Free School di daerah Timur Laut serta Taman Sri Janggus di daerah Seberang Perai Tengah.

"Dua lokaliti wabak tak terkawal pula di Taman Teguh dan Flat Hamna di daerah Timur Laut," katanya.

Program gotong-royong perdana itu, yang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Pulau Pinang membendung wabak denggi, adalah kali kedua dianjurkan melibatkan 40 buah kawasan sekitar Pulau Pinang.

Sementara itu, Lim berkata program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah laku (Combi) adalah satu langkah yang paling berkesan dalam usaha memerangi denggi.

"Program Combi perlu ditubuhkan dan bergerak aktif di lokaliti bermasalah denggi. Program memperkasakan komuniti bagi menjalankan aktiviti pencegahan denggi ini perlu terus diberi sokongan.

"Penglibatan wakil masyarakat tempatan amat penting bagi memastikan Combi terus bergerak aktif dan berupaya mencapai matlamat untuk mencegah denggi," katanya.