Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan tiga kerajaan negeri membabitkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan belum cukup komited untuk perangi rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata setakat ini banyak kementerian serta agensi kerajaan berlumba-lumba berusaha untuk menyatakan Ikrar Bebas Rasuah.

"Ada tiga kerajaan negeri iaitu Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor belum menyatakan Ikrar Bebas Rasuah.

"Nak bendung rasuah ini, kita perlu tunjuk contoh daripada semua peringkat.

"Menerusi Ikrar Bebas Rasuah, ia membuktikan komitmen sesebuah institusi sebagai salah satu usaha untuk memerangi rasuah," katanya dalam sidang media selepas Program Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) di Lobi Kompleks Pakar dan Rawatan Harian (SCACC), Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Beliau pada masa sama turut membidas tiga kerajaan negeri pembangkang yang dikatakan cakap berdegar-degar dalam isu rasuah tapi sehingga hari ini belum menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di negeri masing-masing.

Dzulkifli berkata, semua negeri sudah menandatangani IBR tetapi tiga negeri terbabit masih tidak menunjukkan komitmen untuk menandatangani IBR secara sukarela, justeru kesungguhan mereka dalam melawan rasuah menjadi persoalan.

“Di peringkat negeri hanya tinggal tiga negeri sahaja yang belum melaksanakan ikrar bebas rasuah iaitu negeri Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan, yang lain semua dah buat bebas rasuah maknanya program ini bersifat sukarela.

“Kita menunggu jemputan negeri ini untuk kita selesaikan menunjukkan komitmen semua negeri dalam Malaysia nyatakan mereka begitu komited dan prihatin untuk bebaskan dan pastikan pentadbiran kerajaan negeri di seluruh negara bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa, katanya lagi.

GERAH digerakkan SPRM dalam usaha mewujudkan kesedaran umum berkaitan bahaya rasuah dan keperluannya untuk diperangi dalam tempoh tiga tahun mendatang.