Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menggesa kerajaan untuk kembali memperkukuh Dasar Berkecuali bagi memberi kebebasan dalam membuat sebarang tindakan yang membabitkan negara luar.

Mengulas mengenai ketegangan hubungan Malaysia-Korea Utara, beliau menganggap Malaysia tidak seharusnya menjadikan Korea Utara sebagai musuh malah perlu ditangani dengan bijak.

"Ini merupakan kejadian pertama yang berlaku kepada Malaysia.

"Zaman saya tak berlaku macam ini, malah dulu kita amalkan Dasar Berkecuali yang tidak mengikat perhubungan dengan mana-mana blok.

"Malah kita bersahabat dengan semua negara tanpa fikir dasar atau ideologi mereka.

"Sekarang ni sudah berbeza sikit, sebab kita sudah tingkatkan hubungan kita dengan satu negara lain," katanya dalam sidang media sempena Majlis Tayangan Perdana dan Bicara Filem Pendek 'Sikap' di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Tambah beliau, keadaan yang dihadapi kini mengurangkan sedikit kebebasan Malaysia dan sebab itu, jika boleh, Malaysia perlu pulihkan semula dasar berkecuali sebab ia memberi banyak manfaat.

Jelasnya lagi, kes kematian Kim Jong Nam ini merupakan kes misteri yang perlu diteladani semua pihak.

"Banyak misteri dalam kes ini, siapa yang nak bunuh, apa niat mereka, serta bagaimana ia boleh berlaku? Semuanya jadi pengajaran buat kita.

"Sekarang ini pula, negara kita dipenuhi warga asing yang mana ada kemungkinan untuk mereka turut sama bawa perkara yang tak baik kepada negara kita," jelasnya.