Punca sebenar kematian tiga ekor gajah di Kampung Sri Timur di sini pada awal bulan ini, akan diketahui dalam masa tiga bulan lagi selepas sampel ginjal dan hati gajah berkenaan selesai dianalisis oleh Jabatan Kimia.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor Aminolhuda Hassan berkata, "Daripada siasatan awal pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), tiga gajah terbabit mati akibat termakan racun.

"Kes gajah termakan racun bukan yang pertama di negeri ini, di mana pada tahun lepas terdapat kes seumpamanya di kawasan berhampiran membabitkan seekor gajah jantan," katanya kepada pemberita di Pejabat Perhilitan Kluang di sini pada Ahad.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Johor, Salman Saaban.

Sementara itu, Salman berkata pasukan bertindak yang akan ditubuhkan penduduk kampung bagi menangani masalah kehadiran gajah boleh memudahkan pihaknya memantau, menjalankan tindakan mitigasi dan langkah pencegahan kawalan gajah di kawasan perkampungan.

"Setakat ini, terdapat lima kampung atau penempatan yang dikenalpasti sebagai lokasi kerap dikunjungi gajah iaitu Kampung Sri Lukut, Kampung Sri Timur, Felda Kahang Timur, Felda Kahang Barat dan Felda Ulu Dengar.

Berhubung projek pembinaan fasa pertama santuari gajah yang berkeluasan 57.234 hektar di Kota Tinggi, Aminolhuda berkata ia sedang berjalan dan dijangka diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri Johor pada Oktober atau November, tahun ini.

"Tapak Koridor Santuari Gajah berkenaan berkeluasan 438.122 hektar di kawasan Mukim Sungai Ulu Sedili Besar dan Mukim Sungai Johor dan apabila siap akan memberikan fokus kepada pengkayaan habitat dan sumber air di kawasan terbabit," katanya.

-- BERNAMA