Tidak menjadi kesalahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk merobohkan arca Puncak Purnama rekaan Datuk Syed Ahmad Jamal, Sabtu lalu, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Berkata demikian dalam satu kenyataan, beliau menjelaskan arca tersebut merupakan hak milik penuh DBKL selepas mahkamah memutuskan DBKL perlu membayar pampasan kepada pereka asal, Syed Ahmad kerana menaik taraf arca tersebut.

"Arca tersebut telah terbiar tanpa jagaan dan penyenggaraan selepas itu dan sebagai PBT yang bertanggungjawab, DBKL mengambil inisiatif dengan menjaga kebersihan dan penyenggaraan arca tersebut.

"DBKL telah menaik taraf arca tersebut pada tahun 1998 menggunakan dana DBKL namun begitu pereka asal arca telah membawa perkara ini ke mahkamah.

"Lanjutan daripada itu, mahkamah telah membuat keputusan bahawa DBKL perlu membayar pampasan kepada pereka asal dan selepas daripada itu arca ini telah menjadi milikan penuh DBKL," kata kenyataan itu.

Ujarnya, mana-mana pihak juga tidak boleh mengarahkan DBKL untuk menyenggara struktur tersebut dengan menggunakan dana awam.

lokasi bulatan Jalan Sulaiman di ibu negara berhampuran Menara Takaful. - Foto DBKL

Tambah Tengku Adnan, antara faktor perobohan arca itu termasuk adalah kerana arca tersebut juga tidak selamat kepada keselamatan awam kerana terlalu usang selain menjadi mangsa musnah laku atau vandalisme.

"Dalam menilai hal ini, pentadbiran DBKL mengambil keputusan untuk meroboh arca ini atas beberapa faktor. DBKL mendapati struktur arca tersebut tidak lagi selamat kepada keselamatan awam kerana telah terlalu usang, menjadi mangsa musnahlaku (vandalisme) dan faktor keselamatan kawasan (gangguan penagih dadah/gelandangan).

"Di samping itu, sistem pengairan arca ini telah tidak disenggara dan menjadi tempat pembiakan aedes," kata kenyataan itu.

Keadaan sekitar arca Puncak Purnama yang tidak terjaga serta kesan kerosakan yang direkodkan. - Foto DBKL

BACA: Tindakan DBKL roboh arca Puncak Purnama dikecam

BACA: Arca Puncak Purnama: Waris Syed Ahmad Jamal luah perasaan sedih