Puntung, satu daripada dua badak Sumatera di Malaysia, menjalani pembedahan yang berjaya mengeluarkan nanah daripada rahang atas yang dialaminya sejak pertengahan bulan lepas.

Pengarah Jabatan Hidupan Luar Sabah, Augustine Tuuga berkata doktor pergigian veterinar dari Thailand, Dr Tum Chinkangsadarn melakukan pembedahan itu yang mengambil masa dua jam 20 minit di Santuari Badak Borneo di Kawasan Simpanan Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu, di mana badak itu dijaga, pada Rabu.

Katanya Dr Tum mencabut dua gigi geraham termasuk satu yang dijangkiti bakteria sehingga menyebabkan bernanah serta melonggarkan gigi bersebelahan, serta satu gigi geraham kecil.

"Ini adalah pembedahan luar biasa dan berjaya dilakukan hasil perbincangan global dan membabitkan kerjasama pelbagai negara sejak dua minggu lepas.

"Sabah berterima kasih kepada Dr Tum dan mereka yang terlibat dalam tugas yang hebat ini, dan Dr Abraham Mathew, doktor veterinar kanan dari Zoo Singapura, yang membantu membius badak itu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Tuuga juga berterima kasih kepada Dr Johan Marais dan Dr Zoe Glyphis dari badan bukan kerajaan ''Saving the Survivors'' yang berpangkalan di Afrika Selatan yang memulakan usaha membantu Puntung dan menyediakan bantuan kewangan yang besar.

Doktor veterinar Borneo Rhino Alliance, Dr Zainal Zainuddin berkata dalam tempoh dua jam selepas pembedahan itu, Puntung sudah boleh makan.

"Tapi tugas ini belum selesai. Masih ada tempoh penjagaan selepas pembedahan iaitu untuk memastikan Puntung bersih, bebas daripada tekanan dan diberi rawatan termasuk ubat penahan sakit," katanya. -- BERNAMA