Seorang lelaki yang berpura-pura menolong seorang wanita bersama anak kecil yang keretanya tersadai di tepi jalan Mac lalu, hari ini dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan satu sebatan kerana merompak barangan dan wang tunai milik wanita itu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Hilmiah Yusof, menjatuhkan hukuman itu ke atas Johar Mohd Yusof, 44, seorang pengawal keselamatan, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah merompak Aryaty Ibrahim, 40.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 22 April lalu.

Mengikut pertuduhan pindaan, Johar didakwa melakukan rompak berkumpulan ke atas wanita itu dengan merompak seutas jam tangan, sehelai baju kemeja, seutas rantai leher, satu cermin mata, seutas gelang tangan, sebuah telefon bimbit jenama Asus dan wang tunai RM400.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan perniagaan Jalan PJS 3/32, di sini, pada pukul 1 petang, 31 Mac lalu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim memohon hukuman berat memandangkan ketika kejadian mangsa bersama anak kecilnya sehingga menyebabkan kanak-kanak itu trauma.

"Selain itu, kerugian turut dialami mangsa kerana pelbagai barangan miliknya diambil. Saya juga mohon hukuman berbentuk sebatan juga dikenakan supaya dapat menginsafkan tertuduh," kata Shafiq.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu pertimbangan mahkamah agar menjatuhinya hukuman ringan dan hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa bersama anak lelakinya berusia lima tahun terpaksa memberhentikan keretanya di tepi jalan kerana suhu enjin kereta yang naik secara tiba-tiba.

Mangsa kemudian didatangi tertuduh yang menaiki kereta dan menawarkan diri untuk memandu kereta mangsa ke bengkel.

Namun, ketika dalam perjalanan ke bengkel, mangsa telah diarahkan keluar daripada kereta yang diberhentikan dan tertuduh kemudian bertindak mencekik serta merentap rantai di leher mangsa sebelum mengambil barangan lain milik mangsa. -- Bernama