Dalam memastikan bantuan yang diberikan kepada golongan yang memerlukan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat diagihkan secara berkesan, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis berasa lega apabila Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang beroperasi 24 jam sehari berfungsi dengan cekap dan berkesan untuk memastikan tiada sesiapa yang terpinggir dalam agihan bantuan.

Pusat operasi bencana itu diuruskan oleh kakitangan jabatan, agensi kerajaan serta kakitangan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen.

“Oleh kerana kita ada tiga DUN di Kota Belud. Maka tiga unit pemimpin pembangunan masyarakat juga ditempatkan di PKOB berkenaan.

“Mesyuarat secara berkala juga sering dilakukan. Semasa tempoh PKP ini, kami bukan sahaja menerima aduan tentang bantuan makanan, tetapi juga ketiadaan air disebabkan Kota Belud kini mengalami kemarau yang menyebabkan gangguan bekalan,” kata Isnaraissah semasa ditemu bual oleh Astro AWANI pada Selasa.

Parlimen Kota Belud mempunyai 117,334 penduduk dan mempunyai tiga DUN dalam Parlimen ini. Daripada jumlah tersebut, terdapat 5,246 ketua isi rumah yang terdiri daripada golongan miskin, miskin tegar dan B40.

Pada masa sama, Isnaraissah turut memberitahu bahawa meskipun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Belud berdepan dengan kekangan kakitangan, pihaknya bertuah kerana jabatan dan agensi kerajaan lain turut memberi kerjasama yang baik dalam tempoh PKP.

“Dalam keadaan sekarang, banyak golongan yang memerlukan bantuan, bukan hanya orang yang tersenarai dalam senarai penerima bantuan malahan ibu tunggal, anak yatim, orang kelainan upaya (OKU), warga emas yang tinggal bersendirian malah peniaga peniaga kecil, nelayan, petani orang yang hilang pekerjaan.

“Mereka yang bekerja sendiri di kampung, mereka yang berdasarkan pendapatan harian, dan mungkin ada lagi selain daripada golongan ini.

“Maka segala bantuan yang datang, daripada ahli parlimen, ADUN, dan unit pemimpin pembangunan masyarakat, kita salurkan melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, supaya bantuan yang datang baik daripada pejabat ahli parlimen, ADUN dapat diselaraskan dengan baik.

Beliau percaya koordinasi seperti ini penting untuk mengurangkan pertindihan dan risiko ada kalangan rakyat yang tidak mendapat bantuan.

“Melalui cara ini juga kita mampu kurangkan risiko daripada orang kampung untuk berkumpul dan keluar rumah kerana bantuan akan sampai terus kepada mereka,” tambah beliau.

Beliau juga meminta penduduk Kota Belud menguhubungi pusat kawalan tersebut di talian 08-8977618 jika mempunyai sebarang pertanyaan.