Beroperasi dalam deretan rumah mewah di ibu negara.

Itu taktik pusat panggilan judi dalam talian yang berjaya dibongkar pihak berkuasa dalam satu serbuan di Taman Gembira Kuala Lumpur pada Isnin.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, serbuan dilakukan sepasukan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields kira kira jam 3.55 petang.



"Dalam serbuan di sebuah rumah mewah empat tingkat di kawasan Kuchai Lama, premis dijadikan pusat panggilan ini juga didapati menjalankan perjudian dalam talian khas untuk pasaran rakyat China dan tempatan.

"Premis ini disewa dalam deretan rumah-rumah mewah bagi mengelak dikesan pihak polis," katanya dalam kenyataan pada Isnin.



Dalam serbuan itu, polis berjaya menahan sembilan lelaki tempatan berumur 20 hingga 40 tahun.

Kesemua suspek dibawa ke IPD Brickfields untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 4(1)(c) dan (d) Akta Pertaruhan 1953.



Turut dirampas, 18 komputer, 28 buah telefon bimbit, 30 alat pemindahan luar serta peralatan dipercayai digunakan bagi jenayah itu.