Tutup

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dibuka semula untuk solat Jumaat

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dibuka semula untuk solat Jumaat
Pada 14 September 2017, tragedi melanda pusat tahfiz itu sekitar pukul 5.15 pagi apabila bahagian atas bangunan itu terbakar, menyebabkan 21 pelajar dan dua tenaga pengajar maut apabila terperangkap di dalam bilik asrama mereka. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, yang terletak di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini, dibuka semula untuk solat Jumaat hari ini.

Kini hampir dua tahun telah berlalu tragedi meruntun hati rakyat Malaysia melibatkan kebakaran di pusat tahfiz itu yang telah meragut 23 nyawa pelajar dan tenaga pengajar.

Sejak insiden itu, pihak pengurusan pusat itu cuba memulihkan dan membaiki kerosakan pada hampir setiap ceruk bangunan yang memakan belanja lebih RM1 juta.

Hari ini, bahagian bawah bangunan pusat tahfiz itu telah siap dibaiki sepenuhnya dan ia boleh digunakan oleh penduduk sekitar kampung tersebut.
Menurut Pengerusi Surau Al-Ittifaqiyah, Datuk Dr Sharifuddin Musa, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memberi kebenaran untuk ruang berkenaan digunakan untuk solat Jumaat memandangkan surau berhampiran tidak dapat menampung kesemua jemaah dari sekitar Datuk Keramat.

"Terima kasih atas sumbangan semua pihak dari segi pejabat Jawi, pejabat MAIWP dan pejabat Mufti, kerana membantu kami untuk menyegerakan menggunakan ruang pusat tahfiz yang ada sekarang.
"Alhamdulillah, kami bersyukur ke hadrat Ilahi kerana hari ini adalah kali pertama kita menggunakan ruang tahfiz untuk solat Jumaat," kata Sharifuddin ketika ditemui bersama pegawai Jawi untuk melihat serta menentukan kedudukan kiblat di pusat tahfiz itu.

Selain solat Jumaat, bahagian bawah bangunan itu juga boleh digunakan untuk menjalankan aktiviti keagamaan seperti kelas mengaji Al-Quran dan pengurusan jenazah.

Difahamkan, pemulihan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah itu setakat ini telah memakan belanja sebanyak RM1.6 juta.

Pada 14 September 2017, tragedi melanda pusat tahfiz itu sekitar pukul 5.15 pagi apabila bahagian atas bangunan itu terbakar, menyebabkan 21 pelajar dan dua tenaga pengajar maut apabila terperangkap di dalam bilik asrama mereka.

Susulan itu, tujuh suspek remaja ditahan berusia antara 11 dan 18 tahun.

Enam daripada mereka disahkan positif dadah.