Tutup

Pusat tahfiz tidak berdaftar disaran daftar sebagai sekolah swasta

Pusat tahfiz tidak berdaftar disaran daftar sebagai sekolah swasta
Maszlee mengulangi kenyataannya agar pusat tahfiz mengikut kurikulum kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. - BERNAMA/Fail
KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan menyeru pusat-pusat tahfiz seluruh negara yang tidak berdaftar agar mendaftarkan institusi mereka sebagai sekolah swasta.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, langkah itu bagi memelihara kebajikan dan memastikan keselamatan pelajar tahfiz.
"Kalau mereka tidak berdaftar maka banyak risiko akan berlaku seperti soal keselamatan, pendidikan dan kebajikan. Kita menyeru pihak sekolah tahfiz ini daftar di bawah kategori sekolah swasta. Cuma untuk pendaftaran akan melibatkan beberapa panduan keselamatan dan kebajikan," katanya selepas merasmikan "13th International Shariah's Scholars Forum" di sini, hari ini.

Mengenai cadangan memperketatkan garis panduan menyelia dan mengendali pusat tahfiz, beliau berkata perbincangan lanjut mengenai perkara itu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa dijangka disentuh pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.
"Kami belum mengadakan pertemuan. Kita akan mesyuarat Kabinet Rabu ini," ujarnya.

Maszlee sekali lagi mengulangi kenyataannya agar pusat tahfiz mengikut kurikulum kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Di luar waktu (persekolahan), mereka nak hafal Al-Quran semua itu tidak mengapa, tetapi ketika waktu persekolahan, mereka perlu mengikut kurikulum kebangsaan supaya mendapat pendidikan yang lebih tersusun," ujarnya.

Sebelum ini, Maszlee berkata, garis panduan menyelia dan mengendali pusat tahfiz di seluruh negara perlu dikaji semula serta diperketatkan.