Tiga lelaki dan dua wanita berusai antara 21 hingga 51 tahun ditahan dalam serbuan ke atas sebuah pusat urut yabg beroperasi tanpa lesen di Jalan Warisan di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Ashmon Bajah berkata serbuan dilakukan pada pukul 3.45 petang adalah hasil maklumat orang awam.

"Dua daripada tiga lelaki itu merupakan penjaga premis dan seorang lagi ialah pelanggan manakala kedua-dua wanita pula ialah tukang urut dan warga asing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ashmon berkata dari siasatan awal pihaknya premis itu didapati baru sahaja beroperasi kira-kira seminggu lepas dan gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Enakmen Hiburan Negeri Johor kerana tiada lesen perniagaan yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

-- BERNAMA