Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang untuk membina sistem pengangkutan awam baharu, trem di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya dalam masa tiga tahun akan datang.

Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pembinaan kemudahan itu dilihat sebagai alternatif yang sesuai bagi mengatasi kesesakan di kawasan yang sedang mengalami pertambahan penduduk di wilayah terbabit.

Beliau berkata jenis pengangkutan itu dipilih kerana ianya dilihat lebih berekonomi berbanding pembinaan monorel seperti yang dirancang sebelum ini.

"Baru-baru ini, pihak saya telah berbincang dengan Majlis Ekonomi Negara dan kita melihat pembinaan trem akan menyelesaikan projek monorel yang tertangguh sebelum ini dan ianya lebih murah," katanya kepada media selepas merasmikan Kenduri 1Wilayah Persekutuan dan Hari Keluarga Warga Putrajaya di sini Ahad.

Rancangan pembinaan monorel Putrajaya sepanjang 18 kilometer sebelum ini telah ditangguhkan pada pertengahan 2004 kerana ketiadaan peruntukan.

Tengku Adnan berkata beliau yakin pihak Unit Perancang Ekonomi akan membuka 'Request for Proposal' kepada syarikat-syarikat yang berminat untuk pembinaan pengangkutan awam tersebut dalam masa terdekat.

Beliau berkata melalui pembinaan kemudahan baharu itu, diharapkan warga Putrajaya dan Cyberjaya akan memperoleh keselesaan menggunakan pengangkutan awam terutamanya untuk ke pejabat dan mengurangkan kesesakan ketika waktu puncak.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di 152 blok di sekitar Putrajaya bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan pentadbiran kerajaan itu.

"CCTV itu akan dikendalikan sendiri oleh komuniti blok masing-masing dan ini akan meningkatkan kerjasama di antara penduduk untuk menjaga kawasan keselamatan perumahan mereka," katanya.

Mengenai Kenduri 1Wilayah Persekutuan, katanya kementeriannya merancang untuk mengadakan 13 kenduri pada tahun ini di setiap lokasi iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berbanding hanya tiga lokasi pada tahun lepas.

"Pendekatan seumpama ini diharap dapat merapatkan kerajaan dan rakyat serta membuka ruang untuk kementerian dan agensi-agensi mendengar sendiri permasalahan dan menangani isu-isu berkenaan Wilayah Persekutuan," katanya.