Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) berharap kerajaan mempertimbangkan permintaan persatuan itu untuk mendapatkan kuota haji tambahan bagi ahlinya.

Presidennya Datuk Ismail Abidin berkata penambahan itu perlu kerana ramai ahlinya yang mempunyai jumlah simpanan wang mencukupi untuk menunaikan haji namun masih menunggu giliran untuk ke tanah suci.

"Apa yang membimbangkan saya, kebanyakan ahli PVATTBM berusia antara 60 dengan 70 tahun mungkin tidak dapat memenuhi hasrat mereka jika terpaksa menunggu lebih lama," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengenai peningkatan kuota rasmi haji untuk Malaysia bagi tahun ini (1441 Hijrah) kepada 31,600 berbanding 30,200 jemaah tahun lepas

Ismail berkata PVATTBM mendapat kuota 200 orang setahun dan berharap jumlah dinaikkan kepada 400 orang tahun ini.

"Kami tidak merayu wang perbelanjaan untuk ahli-ahli kami ke tanah suci, tetapi apa yang kami minta ialah tempat untuk ahli-ahli kami pergi secepat mungkin memandangkan kebanyakan ahli-ahli kami sudah lanjut usia," katanya.

-- BERNAMA