Surah Al-Kahfi mempunyai pelbagai kisah pengajaran yang boleh diselami dan diambil sebagai pedoman serta kunci kepada penyelesaian masalah dunia ketika ini.

Surah berkenaan juga memberi jawapan untuk empat cabaran iaitu iman, harta, ilmu pengetahuan dan kekuasaan.

Justeru itu surah yang menjadi sunnah untuk dibaca pada setiap hari Khamis itu dipilih sebagai surah yang perlu difahami untuk Kempen #QuranHour bagi tahun 2019 yang akan berlangsung pada 30 Mei bersamaan 25 Ramadan ini.

Menurut Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Datuk Dr Hussamuddin Yaacub, penganjuran #QuranHour 2019 membawa Misi Al-Kahfi dengan mengajak masyarakat memahami empat cabaran dan penyelesaian yang dihayati daripada intipati surah tersebut.

"Fokus kita adalah pengupasan Surah Al-Kahfi daripada setiap sudut cabaran serta penyelesaiannya berteraskan 'Divine Solution' dan penghayatan surah ini memberi persediaan dari perspektif fizikal, emosional, intelek dan spiritual dalam konteks Qurani kepada masyarakat dalam menangani dunia era 'tidak menentu, ketidakpastian, kerumitan serta kekaburan'.

“Kefahaman dari surah ini mampu menjadi benteng dan landasan agar ummah berupaya mengemudi kehidupan mengikut panduan al-Quran dari kerangka digariskan Allah SWT.

"Dari situ, proses transformasi diri secara berterusan akan membawa perubahan positif kepada tamadun insan hingga akhirnya sebuah dunia yang berbudi dan penyayang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam masjlis pelancaran dan taklimat sinergy media Malaysia sempena World #QuranHour di Shah Alam, pada Khamis.

Program World #QuranHour yang bertemakan ‘Solusi Cabaran Sejagat’ dijadualkan berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan turut disertai Timbalan Yang Dipertuan Agong Sultan Nazrin Shah.

Program kali ini turut mendapat sokongan kerjasama media-media cetak dan elektronik utama negara yang akan bersama-sama mempromosikan program berkenaan seperti Astro AWANI, Utusan Malaysia, Kosmo!, Kumpulan Media Karangkraf, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Astro, Kumpulan Media Prima dan TV AlHijrah.