Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendedahkan tentang kewujudan akaun yang digunakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membayar Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown sebanyak RM1.4 juta.

Rafizi membuat penyelidikan untuk mengesahkan nombor akaun itu wujud selepas penyokong Pas memberikan hujah bahawa nombor akaun bank yang terkandung dalam perjanjian itu dikatakan nombor akaun palsu.

Beliau bermula dengan mengenal pasti corak nombor akaun 14 digit daripada cek-cek bank berkenaan yang terdapat di internet.

Kemudiannya Rafizi memindahkan wang RM10 ke akaun berkenaan untuk mengesahkan bahawa peraturan kod akaun itu adalah betul.

Penerangan itu dibuat di halaman Facebook miliknya pada Jumaat.

Ternyata akaun itu wujud di bawah nama seorang individu dipercayai pengurusan tertinggi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pindahan wang RM10 itu berjaya dilakukan sekali gus mengesahkan bahawa akaun itu wujud.

Terdahulu, peguam Rewcastle Brown, Americk Singh Sidhu menegaskan cek berkenaan yang dibayar oleh Hadi Awang kepada Rewcastle-Brown adalah tulen.

Kata Americk, sekiranya cek itu palsu, pihak bank tidak akan menerimanya dan sudah tentu ia akan dikelaskan sebagai cek tendang.

Sebelum itu, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hasan berkata, akaun bank yang dikatakan digunakan untuk memindahkan wang berkenaan adalah palsu.