Ahli Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli berdepan kemungkinan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atasnya kerana didapati bersalah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Mohd Rafizi, yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), didapati bersalah kerana memiliki dan mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Mac lalu.

Hakim Zulqarnain Hassan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan yang dihadapi Mohd Rafizi, dan memerintahkannya menjalani hukuman tersebut secara serentak.

MESTI BACA: Kebebasan maklumat di Malaysia: Perkasakan media dan pemberi maklumat

Mohd Rafizi, 39, menghadapi dua pertuduhan iaitu didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Mohd Rafizi didakwa mendedahkan kandungan laporan tersebut dalam sidang media di tempat dan masa sama pada 28 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan difailkan ke Mahkamah Tinggi, dengan menaikkan jumlah jaminan daripada RM3,000 kepada RM5,000.

Mohd Rafizi berkata beliau akan merayu keputusan itu.

Beliau diwakili oleh peguam Gobind Singh Deo manakala Shukor Abu Bakar bertindak sebagai timbalan pendakwa raya.