Pakatan Harapan menawarkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebagai pengganti Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua sebagai pendebat berdepan Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy.

"Bagi menghormati keputusan Yang DiPertua Dewan Rakyat ( Tan Sri Pandikar Amin Mulia) bahawa YB Petaling Jaya Utara Tony Pua, sebagai Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), tidak sewajarnya berdebat dengan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, maka Pakatan Harapan dengan ini menawarkan YB Pandan, Rafizi Ramli untuk menggantikan tempat YB Tony Pua," kata Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke yang membacakan kenyataan media bersama oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Kenyataan media tersebut dipersetujui oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Malah, Pakatan Harapan turut mencadangkan perdebatan tersebut dibuat menerusi siaran televisyen secara langsung, di hadapan penonton secara langsung dan dalam Bahasa Malaysia.

Dalam pada itu, Anthony yang juga Ketua Whip DAP berkata, semua Ketua Whip akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkenaan format perbahasan yang akan digunakan.

Mengulas mengapa Pakatan Harapan tidak mencalonkan Wan Azizah sebagai pengganti, jelas Rafizi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seharusnya menjadi lawan kepada Wan Azizah.

"Kalau Ketua Pembangkang, Wan Azizah menyahut cabaran tersebut, jadi ia sepatutnya Najib (menjadi lawan). Ia sepatutnya Wan Azizah menentang Najib," katanya.

BACA: Drama #Debat1MDB: 20 adegan menarik yang anda perlu tahu

BACA: RTM hanya siarkan secara langsung debat Tony dan Arul sahaja - Salleh

BACA: 'Saya sedia undur diri jika debat 1MDB Arul-Tony tidak ikut syarat' - Pandikar

Sementara itu, Tony berkata, perdebatan antara beliau dengan Arul Kanda bukan bersifat peribadi.

"Perbahasan atau sesi soal jawab dengan Arul Kanda, apa-apa format pun adalah untuk mengemukakan kebenaran mengenai skandal 1MDB yang sekarang melanda negara kita yang menjadi antara sebab kita mengalami kemelut ekonomi masa kini," jelasnya lagi.

Tambah Tony, berkaitan 10 soalan yang beliau kemukakan sebelum ini, tidak kira sama ada sesi perbahasan berlangsung ataupun tidak, Arul Kanda sepatutnya menjawab kesemua soalan tersebut.