Iltizam politik kerajaan sehingga ke peringkat dewan bandar raya dan pendekatan berasaskan sains rahsia Kerajaan China memenangi perang udara lima tahun.

Perang itu bukan dengan mana-mana negara tetapi terhadap pencemaran udara.

Pencemaran udara yang teruk sehingga digelar malapetaka udara atau 'airpocalypse' oleh media barat.

Apa tidaknya, pencemaran itu mengakibatkan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di Jiangsu, China menderita barah paru-paru.

Sembilan daripada sepuluh penduduk dunia menghidup udara tercemar melebihi had selamat, menurut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sehingga tahun 2009, 16 daripada 20 bandar raya paling tercemar di dunia berada di China. Malah, tahun ini hanya empat sahaja.

Rahsia kejayaan China ini terbongkar pada Persidangan Asia bagi Kualiti Udara Lebih Baik (BAQ) 2018 yang berlangsung dari 15 hingga 17 November di Pusat Konvensyen Borneo di Kuching, Sarawak.

Persidangan serantau edisi ke10 itu membabitkan lebih 600 peserta dan ini pertama kali diadakan di Malaysia.

Menurut Pengarah Clean Air Asia China, Fu Lu, cerapan data terkini jelas menunjukkan penurunan pencemaran sekali gus bukti kejayaan usaha lima tahun Kerajaan China itu.

"Penghujung 2012, pencemaran udara sangat teruk hingga media antarabangsa menggelarkannya 'airpocalypse'.

"Bagaimanapun, Kerajaan China berjaya memulihkannya dalam masa lima tahun. Ini disokong oleh data penurunan aras PM2.5 dengan sekurang-kurangnya 30 peratus di 338 bandar raya sepanjang lima tahun lalu," katanya.

Selain itu bagi Pengarah Eksekutif Clean Air Asia, Bjarne Pedersen, beliau berpendapat kejayaan China itu boleh dijadikan contoh sekali gus diaplikasi di negara-negara lain termasuk Malaysia.

"Pengalaman China ini boleh diaplikasi di negara lain. Bagaimanapun perlu ada kesanggupan politik bagi merealisasikan perubahan ini.

"Mungkin terdapat perbezaan dalam sistem pentadbiran di antara Malaysia dan China tetapi pencemaran udara atau pengalaman China mengurangkan kadar pencemaran boleh digunakan Malaysia untuk mengatasi isu ini," katanya.

Sementara itu, penemuan para saintis dan garapan teknologi juga memberi harapan kepada Malaysia untuk turut memulihkan kualiti udara ke tahap terbaik.

Bagi Penyelidik Sains Kesihatan Persekitaran, Nor Ashikin Sopian berkata, beliau akan menjalankan penyelidikan tentang trafik pendedahan kanak-kanak kepada pencemaran.

"Kanak-kanak yang terpilih terdiri daripada mereka di sekolah rendah dan kami akan melakukan pembandingan sekolah yang dekat dengan trafik pencemaran dengan jauh.

"Yang penting juga kita akan tengok dari segi kesan genetik dan kerosakan DNA yang berlaku daripada isu pencemaran ini," katanya.

Dalam pada itu, Penyelidik Sains Kesihatan Persekitaran Nur Faseha Suhaimi pula berkata, beliau akan menjalankan kajian PHD tentang pendedahan sebatian organik yang boleh mendatangkan kanser terhadap kanak-kanak.

"Saya akan mengkaji hubungan adakah terdapat kesan atau pendedahan sebatian yang berbahaya terhadap kanak-kanak berhampiran kawasan petrokimia.

"Pencemaran udara terutama partikel halus seperti yang berskala 2.5 milimeter atau PM2.5 adalah pembunuh halus yang tidak kelihatan," katanya.

Sehubungan itu, Malaysia Baharu perlu melancarkan perang yang menggembeling kerjasama semua sektor termasuk kerajaan, industri, akademia dan masyarakat sivil untuk memastikan kejayaannya.

Kejayaan yang mampu membekalkan udara yang lebih bebas daripada pemusnah kesihatan dan kehidupan.

Kali pertama diadakan di Malaysia, Persidangan BAQ2018 serantau edisi ke-10 kali ini melibatkan lebih 600 peserta.