Masyarakat Dayak yang bakal merayakan sambutan Hari Gawai diingatkan untuk mengamalkan konsep sederhana dan seadanya sepanjang meraikan sambutan pesta menuai itu.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, masyarakat itu juga diingatkan sentiasa mengutamakan keselamatan serta mengamalkan garis panduan ditetapkan pihak berkuasa sepanjang perayaan tersebut.

Menerusi perutusan khas Hari Gawai 2020, Abang Johari turut berpesan kepada masyarakat di negeri itu untuk bersabar dan merayakan Hari Gawai dengan penuh kesyukuran walaupun ada dalam kalangan ahli keluarga yang tidak dapat beraya bersama.

“Saya percaya ada juga kaum Dayak yang berada di perantauan untuk mencari nafkah khususnya dalam industri minyak dan gas yang juga tidak dapat pulang ke Sarawak.

“Tidak mengapa, apa yang penting kita semua selamat daripada COVID-19 dan setelah keadaan kembali seperti biasa, kita oleh raikan seperti sebelum ini,” katanya.

Menyentuh tentang prosedur operasi standard (SOP) semasa musim perayaan, Abang Johari berkata kerjasama yang baik antara tuai rumah mampu memastikan garis panduan keselamatan dipatuhi terutama dalam tradisi 'ngabang' atau berkunjung ke rumah keluarga.

“Pihak berkuasa tidak mempunyai kemampuan untuk memeriksa setiap rumah dan kampung tetapi saya percaya ketua kampung dan tuai rumah masing-masing akan sentiasa memasti serta mengamalkan SOP.

“Selain itu protokol sepanjang musim perayaan yang telah ditetapkan juga perlu dipatuhi oleh semua yang terlibat,” tambahnya.

Selain itu, Abang Johari turut mengulangi pesanannya agar rakyat majmuk berbilang bangsa dan agama di Bumi Kenyalang kekal bersatu serta tidak menjadikan platform media sosial sebagai medium menanam bibit kebencian antara kaum yang akan merugikan semua.

Antara lain menerusi perutusan tersebut, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak memahami keadaan yang terpaksa dihadapi rakyat akibat penularan pandemik COVID-19.

Malah, simpanan negeri masih mampu untuk menampung keperluan semasa dan menyokong gerak ekonomi rakyat negeri itu.

“Sarawak mempunyai rizab kewangan yang agak kukuh kerana banyak dana yang telah disimpan untuk memberikan sedikit keselesaan kepada warganya sepanjang menghadapi waktu-waktu yang sukar seperti ini,” ujarnya.