Gesaan Raja-raja Melayu yang mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menunjukkan keprihatinan Raja-raja terhadap kemelut yang semakin hari semakin menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia menandakan 1MDB adalah isu besar sekali gus membayangkan kebimbangan Raja-raja tentang kesan negatif kemelut 1MDB terhadap rakyat dan negara.

"Raja-raja pada kebiasaannya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kecuali ianya melibatkan isu besar yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.

"Oleh kerana Raja-raja telah bertitah menggesa kerajaan supaya bertindak segera menyelesaikan kemelut 1MDB, maka pihak yang sewajarnya menjunjung titah baginda ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Ketua Kerajaan.

"Tanggungjawab menyelesaikan isu ini akhirnya terpikul di bahu Najib sendiri dan perlu memastikan siasatan terhadap 1MDB oleh agensi-agensi berkaitan dijalankan secara telus, adil dan berkecuali tanpa sebarang gangguan atau campur tangan daripada mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Selasa, Raja-raja Melayu mahu kerajaan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam isu 1MDB.

Baginda sekalian menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

Dalam pada itu kata Muhyiddin, adalah menjadi tanggungjawab Peguam Negara untuk mendakwa mereka yang terbabit jika hasil siasatan Bank Negara mengandungi bukti-bukti yang boleh mensabitkan mana-mana pihak dengan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang negara.

"Saya khuatir oleh kerana kemelut 1MDB adalah satu isu yang menyentuh kepentingan awam, maka kelewatan Peguam Negara membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan akan menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis.

"Adalah wajar bagi Peguam Negara tampil dalam masa terdekat untuk memaklumkan kepada masyarakat umum mengenai perkembangan mutakhir berhubung perkara ini.

"Mengambil semangat titah Raja-raja berhubung kemelut 1MDB, agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dahulunya terlibat dalam Pasukan Petugas Khas siasatan terhadap 1MDB mesti diberikan ruang yang seluas-luasnya untuk meneruskan siasatan terhadap syarikat ini hingga selesai," ujarnya.