Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) bersama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor pada jam 3 petang tadi bagi dirakam keterangan mereka berhubung rakaman perbualan audio yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal Januari lalu.

Terdahulu mereka berdua hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 10 pagi bagi memberikan keterangan kira-kira satu jam berhubung isu sama kepada pihak polis.

Minggu lalu, seramai 12 saksi diambil keterangan bagi membantu siasatan pendedahan rakaman audio yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi melibatkan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga SRC International.


Antara Individu yang dirakam percakapan termasuk Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

Pada 8 Jan lepas, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib, semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.