Takiyuddin Ismail, 57, yang kudung kaki kanan akibat kemalangan jalan raya sembilan tahun lepas tetap bersemangat untuk menunaikan fardu haji musim ini.

Beliau dari Kampung Paya Kerchut, Pendang berkata rakan karibnya yang juga kudung kaki memberi semangat kepadanya untuk ke Makkah.

"Kawan saya pun kudung kaki akibat kemalangan tetapi dia banyak beri nasihat serta semangat kepada saya.

"Pada mulanya saya agak bimbang dengan kerana kekurangan pada diri saya tetapi pengalaman rakan saya membuatkan saya lebih bersedia untuk ke tanah suci.

"Jika kawan saya boleh lakukan kenapa saya tidak boleh. Ramai lagi jemaah haji yang serba kekurangan (fizikal), tapi mampu melakukannya dengan bantuan pelbagai pihak termasuk petugas Tabung Haji (TH)," katanya.

Beliau ditemukan pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Kedah di sini malam tadi yang disempurnakan Tunku Temenggong Kedah merangkap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

Takiyuddin akan ditemani isterinya Siti Zaleha Shamsuddin, 57, seorang guru Tabika.

Sebelum dapat ke Makkah, beliau berkata beliau menyimpan sebanyak RM50 sebulan selama 36 tahun dari hasil melakukan kerja-kerja kampung seperti memotong rumput.

Beliau dapat menyempurnakan 17 siri kursus haji dengan bantuan tongkat dan kerusi rodanya.

Sementara itu Siti Zaleha yang telah 24 tahun berkahwin dengan suaminya itu berkata berkata beliau turut membantu suaminya menabung di TH selain membuat potongan gaji RM150 sebulan.

Mereka berdua mendaftar dengan TH sejak 2011.

Siti Zaleha berkata anak tunggal mereka Khairah, 18, juga sepatutnya pergi bersama mereka ke Makkah namun terpaksa ditangguhkan kerana dia masih belajar.