Rakan Mohd Zahir, disiasat polis

Ruzaini Zulkepli
September 4, 2019 06:46 MYT
Anggota tentera yang melepaskan tembakan ke arah Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya telah ditahan untuk tindakan lanjut berhubung insiden yang berlaku pagi Rabu.
Anggota tentera yang melepaskan tembakan ke arah Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya telah ditahan untuk membantu siasatan berhubung insiden yang berlaku pagi Rabu.
Penahanan anggota yang berusia 37 tahun itu disahkan Ketua Polis Daerah Penampang, Dep Supt Haris Ibrahim.
"Pada jam lebih kurang 8.25 pagi, seorang Pegawai Tentera berpangkat Mejar telah meninggal dunia akibat tertembak semasa melakukan acara persembahan tembak sempena Majlis Perbarisan Penubuhan Divisyen ke-5 Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia.
"Ketika kejadian mangsa telah tertembak oleh rakannya sendiri dalam jarak lingkungan lima meter menggunakan senjata api semasa acara persembahan tembak di majlis tersebut," katanya dalam satu kenyataan media sebentar tadi.
Dalam kejadian malang itu, Haris berkata, mangsa sedang melakukan acara persembahan tembak sempena Majlis Perbarisan Penubuhan Divisyen ke-5 Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi.
Sementara itu, Jabatan Perubatan Forensik, Unit Forensik Patologi, Hospital Queen Elizabeth (HQE) diselubungi suasana suram apabila ahli keluarga Mohd Zahir hadir bagi proses tuntutan jenazah dan tindakan lanjut.
Jenazah Allahyarham difahamkan akan disembahyangkan di Masjid As-Salam, Kem Lok Kawi, petang ini sebelum diterbangkan ke Kuala Lumpur.
Mohd Zahir, yang juga anak kepada pelakon veteran, AR Badul, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth pada pukul 9.20 pagi.
Allahyarham yang bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dipercayai terkena tembakan dalam demonstrasi melibatkan pasukan khas itu sempena paluan berundur Markas 5 Briged.
BACA: Anak pelakon AR Badul maut terkena tembakan
BACA: TDM akan tubuh lembaga siasatan kenal pasti punca kejadian kematian Mohd Zahir
#anak AR Badul #AR Badul #jenazah #komando #maut #Mejar Mohd Zahir Armaya #meninggal dunia #polis #tembakan